Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

MP saran kerajaan perluas peranan, fungsi koperasi

PARLIMEN | Beberapa ahli Parlimen hari ini mencadangkan supaya peranan koperasi diperluaskan dan tidak hanya terhad kepada memberi pinjaman kewangan kepada ahli semata-mata.

Noor Amin Ahmad (PH-Kangar) berkata jika dilihat dari segi fungsi koperasi, sektor kewangan dan kredit menguasai keseluruhan sektor berbanding sektor perladangan, perkhidmatan, pengguna, pengangkutan, perindustrian dan pembinaan yang fungsinya masih lagi kecil.

"Kalau kita tengok sektor kewangan hanya ada dua koperasi. Sektor kewangan dua ini sahaja 'turn over' dia lebih daripada 72 peratus. Kalau kita ambil fungsi koperasi dalam bidang kredit dicampur dengan kewangan pulangan koperasi ini 87 peratus.

"Itu bermaksud koperasi-koperasi yang lain masih di peringkat kecil, tidak cukup untuk berkembang. Jadi, apakah usaha kementerian untuk consolidate supaya koperasi-koperasi kecil ini dapat berfungsi dengan baik," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Koperasi (Pindaan) 2020 di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, dia berkata fungsi koperasi dalam menawarkan harga rumah yang lebih murah berbanding harga pasaran juga boleh diperluaskan lagi dengan menjalin kerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Dalam pada itu, William Leong Jee Keen (PH-Selayang) meminta kerajaan menggunakan gerakan koperasi negara bagi membantu rakyat yang terjejas akibat wabak Covid-19.

Katanya, memandangkan koperasi lebih mengetahui mengenai masalah tempatan yang dihadapi rakyat, kerajaan boleh mendapatkan input yang tepat dan bertindak dengan berkesan dalam menangani isu itu.

"Koperasi mengetahui (mengenai) masalah tempatan dari akar umbi...dengan ini, kerajaan boleh mengetahui dengan lebih baik bentuk tindakan yang boleh diguna pakai,” katanya.

Persidangan dewan bersambung esok.

-Bernama