Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Sekilas pandang sekatan PKPB di Seremban

Kerajaan Negeri Sembilan hari ini mengeluarkan senarai sekatan yang akan dilaksanakan di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Seremban yang akan berkuatkuasa tengah malam ini.

Ia akan berkuatkuasa selama dua minggu dan dijadual berakhir pada 18 November.

Terdapat sedikit perbezaan berbanding peraturan PKPB yang dilaksanakan di kawasan Lembah Klang dan Sabah.

Meskipun peraturan dan sekatan PKPB ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk membuat beberapa perubahan terhadapnya.

Pergerakan

  • Pergerakan keluar masuk daerah Seremban tidak dibenarkan. Sebarang permohonan keluar masuk hanya kepada pekerja yang mempunyai pas pekerja dengan pematuhan SOP yang ketat.
  • Hanya dua orang setiap isi rumah dibenarkan keluar untuk mendapatkan bekalan makanan dan keperluan lain.
  • Perniagaan dan perkhidmatan perlu (essential services), aktiviti ekonomi dan rantaiannya dibenarkan beroperasi.

Had waktu operasi

  • Enam pagi hingga 10 malam bagi semua restoran, kedai, gerai makan, kedai runcit, kedai serbaneka termasuk kedai serbaneka di stesen minyak dan stesen minyak.
  • Lapan pagi hingga 10 malam  bagi semua pusat beli belah dan pasar raya.
  • Enam pagi hingga dua petang bagi operasi pasar harian dan pasar tani.
  • Empat pagi hingga dua petang bagi pasar borong.
  • Empat petang hingga 10 malam bagi pasar malam.
  • Lapan pagi hingga 10 malam bagi farmasi dan kedai menjual ubat-ubatan.
  • Operasi 24 jam bagi hospital kerajaan dan swasta termasuk klinik dan klinik haiwan.

Sekolah

  • Semua premis sosial dan pendidikan termasuk institut pengajian tinggi awam & swasta, institut latihan kemahiran, sekolah, tadika, taska, pusat tahfiz, pusat jagaan kanak-kanak dan sekolah pondok dalam kawasan PKPB ditutup.
  • Pelajar sekolah atau di institut pengajian tinggi awam dan swasta di luar kawasan PKPB tidak dibenarkan keluar atau masuk.

Aktiviti sosial

  • Majlis rasmi dan tidak rasmi sama ada oleh kerajaan dan swasta, majlis sosial seperti kenduri, majlis pertunangan dan perkahwinan (tidak termasuk urusan pernikahan), majlis aqiqah, doa selamat, tahlil, sambutan ulang tahun atau hari kelahiran dan majlis-majlis sosial yang lain tidak dibenarkan.

Keagamaan

  • Semua aktiviti keagamaan di masjid, surau dan rumah ibadat bukan Islam tidak dibenarkan.
  • Masjid dan surau hanya dibenarkan untuk mengumandangkan azan dan mendirikan sembahyang lima waktu sahaja.
  • Sembahyang Jumaat dibenarkan dengan pematuhan SOP yang ketat dan diwajibkan untuk membawa sejadah sendiri.
  • Pengurusan dan petugas di semua rumah ibadat bukan Islam dibenarkan dengan pematuhan SOP yang ketat dan sambutan perayaan atau majlis perkahwinan di premis tersebut tidak dibenarkan.

Aktiviti rekreasi

  • Sukan yang tidak melibatkan sentuhan tidak melebihi 10 orang dibenarkan seperti aktiviti berjalan, jogging, berbasikal, senam robik kendiri, mendaki, memancing, golf dan lain-lain yang dilakukan di kawasan yang sama dan terbuka.
  • Aktiviti di padang bola sepak komersial, gimnasium, gelanggang futsal dan dewan badminton komersial yang mempunyai premis adalah dibenarkan dengan waktu operasi bermula enam pagi hingga lapan malam dengan mematuhi SOP sektor sukan dan rekreasi.
  • Operator sukan perlu menjadualkan pelaksanaan latihan sekiranya terdapat ramai peserta dengan menghadkan jumlah tidak melebihi 10 orang pada satu-satu masa.

Denda

Individu yang melanggar peraturan PKPB seperti berikut dan yang lain, seperti tidak memakai pelitup muka dan gagal merekod butiran diri sebelum memasuki premis, boleh dikenakan denda RM1,000 serta-merta.