Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Imigresen Perak selamatkan 6 wanita Indonesia mangsa eksploitasi buruh

Jabatan Imigresen Perak berjaya menyelamatkan enam wanita warga Indonesia yang menjadi mangsa eksploitasi buruh paksa selama kira-kira 10 tahun, di tiga lokasi di Tanjung Malim, semalam.

Pengarahnya Hapdzan Husaini berkata semua wanita yang diselamatkan dalam operasi bersama oleh Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Perak, Majlis Antipemerdagangan Orang dan Jabatan Tenaga Kerja itu, berumur antara 22 hingga 40 tahun dan bekerja sebagai pembantu rumah serta jurujual.

Beliau berkata pemeriksaan pertama dilakukan di sebuah kediaman dan pihaknya menemukan seorang wanita bekerja sebagai pembantu rumah, selain turut menahan seorang wanita yang merupakan majikan mangsa.

Katanya, pemeriksaan seterusnya di dua premis perniagaan pula menemukan lima lagi mangsa.

“Hasil temu bual, mangsa memberitahu tidak diberi gaji selama lebih kurang 10 tahun, tidak tahu berapa gaji diterima, serta tidak diberikan telefon untuk menghubungi keluarga di kampung. Mereka kini ditempatkan di rumah perlindungan,” katanya dalam satu kenyataan di Ipoh, hari ini.

Hapdzan berkata majikan kepada pembantu rumah dan seorang pemilik syarikat dua premis yang diperiksa itu telah diambil keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, kerana memperdagangkan orang bagi maksud eksploitasi.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti menyalahi undang-undang di kawasan sekitar, diminta menyalurkannya kepada pihak berkuasa untuk tindakan sewajarnya,” katanya.

- Bernama