Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Hospital medan ATM sasar pengoperasian optimum

Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Tawau, Sabah, menyasarkan pengoperasian optimum dengan sasaran kadar penggunaan katil sejumlah 70 peratus.

Markas ATM dalam kenyataan memaklumkan seramai 251 pesakit diterima sejak hari pertama ia mula beroperasi pada 22 Okt lepas dan daripada jumlah itu, 221 pesakit telah dibenarkan keluar dari hospital berkenaan setakat semalam.

"Pada masa kini, jumlah pesakit semasa adalah seramai 30 orang manakala kes pembedahan ketika ini masih belum dilaksanakan di hospital itu namun pasukan pembedahan ATM telah ditempatkan membantu Unit Bedah Hospital Tawau.

“Keupayaan Hospital Medan bagaimanapun boleh dipertingkatkan bila-bila masa termasuk penyediaan dewan bedah dan Unit Dependensi Tinggi (HDU),” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memberitahu ATM dan Kementerian Kesihatan (KKM) telah menempatkan 39 pegawai dan 140 anggota serta kakitangan di hospital medan berkenaan.

“Pasukan surgeri dan bius ATM pula akan bekerjasama dengan Kluster Kesihatan Pantai Timur Sabah untuk melaksanakan pembedahan kes-kes elektif seperti kanser dan ketumbuhan yang tertangguh sebelum ini.

"Ia termasuk pembedahan kecemasan yang bukan COVID-19 di Hospital Kunak memandangkan Hospital Tawau perlu menumpukan kepada pembedahan kes-kes COVID-19,” menurut kenyataan itu.

Hospital Medan juga akan mendapatkan bantuan daripada Unit Perubatan Transfusi Darah Hospital Tawau bagi pesakit-pesakit dan bekalan darah 'Safe O' juga diletakkan di sini untuk kegunaan kes kecemasan.

"Jabatan Psikiatri Hospital Tawau dalam pada itu juga akan menempatkan pesakit psikiatrik yang stabil untuk mendapatkan rawatan di Hospital Medan ini," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang dalam kenyataan sama berkata kerjasama ATM dan KKM itu akan diteruskan sebagai komitmen ATM dalam tugas-tugas sekunder bagi memastikan kesejahteraan rakyat menjadi keutamaan.

"Kemudahan logistik semasa dalam menyalurkan bantuan ke Sabah juga akan diteruskan dengan menggunakan aset ATM mengikut keperluan terutamanya penghantaran udara yang melibatkan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia," katanya.

- Bernama