Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

SOP PKPD di Sabah dilonggarkan, penduduk boleh keluar kawasan

Majlis Keselamatan Negara (MKN) setuju untuk meminda prosedur operasi standard (SOP) di beberapa kawasan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Sabah, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Ismail berkata, ia bagi memudahkan penduduk untuk mendapatkan barang keperluan asas yang tiada di kawasan mereka.

"SOP PKPD yang dilaksanakan ketika ini telah membenarkan kedai runcit dalam kawasan lokaliti beroperasi dari jam enam pagi hingga enam petang.

"Bagaimanapun, masih terdapat kekangan bagi penduduk di kawasan PKPD yang terlibat untuk mengeluarkan wang, mendapatkan keperluan asas (seperti susu, lampin pakai buang bayi, sabun pencuci, ubat-ubatan) yang tidak terdapat di kedai runcit di kawasan mereka," katanya dalam sidang media hari ini.

Menurut Ismail, SOP baru membolehkan seorang wakil dari setiap rumah untuk keluar dari kawasan dengan kebenaran polis untuk mengeluarkan wang di bank dan membeli keperluan asas lain.

Katanya lagi, pasar di kawasan PKPD juga dibenarkan beroperasi dua kali seminggu dari jam enam pagi hingga dua petang.

Bagaimanapun, kelonggaran itu tidak terpakai di PKPD kawasan penjara dan pusat tahanan sementara di negeri itu, katanya lagi.

Pada 29 Oktober, kira-kira 50 penduduk Taman Semarak di Tawau yang dikenakan PKPD berdemonstrasi kerana kesukaran mendapatkan bekalan makanan.

Pihak berkuasa kemudian meluaskan kawasan penguatkuasaan PKPD untuk merangkumi satu deretan kedai selain memperkenalkan peraturan baru mengenai penghantaran barang dan gerai makanan.

Menurut peraturan itu, penduduk boleh mengunjungi kedai dari jam enam pagi hingga enam petang.