Lokman disiasat kerana 'ugutan jenayah', 'perkataan jelik' pada kepimpinan PM
Pihak polis telah memulakan siasatan ke atas bekas ahli majlis tertinggi Umno Lokman Noor Adam berhubung satu laporan polis yang dibuat ke atasnya.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Huzir Mohamed, berkata, laporan tersebut dibuat susulan satu video yang dimuat naik di akaun Facebook Lokman yang didakwa mempunyai unsur ugutan jenayah terhadap kepimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
“Pada 1 November 2020, siasatan telah dimulakan ke atas sebuah video yang dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook Lokman Noor Adam kerana mempunyai unsur ugutan jenayah dah menggunakan perkataan yang jelik sifatnya terhadap kepimpinan yang amat berhormat perdana menteri,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyatakan secara spesifik klip video yang dimaksudkan.
Menurut Huzir, siasatan diklasifikasikan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Semalam, Lokman dikatakan telah ditahan polis di sebuah restoran ketika dia bersiaran melalaui Facebook Live membincangkan mengenai Belanjawan 2021.
Harian Metro melaporkan bahawa Lokman berada di restorannya yang terletak berhampiran Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur sekitar jam 11 malam.
Pada minit-minit akhir video berdurasi 28 minit itu, Lokman dilihat sedang melihat kamera dan mengatakan bahawa beberapa pegawai polis datang menghampirinya.
Sementara itu, Huzir turut mengesahkan tangkapan Lokman semalam.
Tambahnya, peralatan elektronik yang dipercayai digunakan Lokman untuk memuat naik video terbabit turut dirampas.
“Tangkapan ke atas suspek telah dibuat pada 1 November jam lebih kurang 11.00 malam dan gajet dipercayai digunakan untuk memuat naik video yang tular tersebut turut dirampas.
“Permohonan reman ke atas suspek telah dibuat dan dibenarkan selama satu hari. Siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya lagi.
Selain itu, Huzir menambah, siasatan dijalankan secara profesional tanpa menerima sebarang tekanan politik atau arahan daripada mana-mana pihak.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggesa semua pihak memberi ruang untuk melengkapkan siasatan secara telus dan adil. Tindakan tegas akan diambil kepada mereka yang sengaja menggugat ketenteraman dan keselamatan awam,” jelasnya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai