Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kit Siang gesa parlimen tak iktiraf Najib sebagai pengerusi BNBBC

Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang menggesa parlimen tidak  mengiktiraf pelantikan bekas perdana menteri, Najib  Razak sebagai pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC).

Pemimpin veteran DAP menyifatkan perkara itu akan memalukan Parlimen Malaysia.

"Pelantikan Najib ini merupakan satu perkara yang mengejutkan dan memalukan, menjadi bukti integriti dan agenda antirasuah adalah prinsip yang sangat jauh daripada Umno, MCA, dan MIC.

"Apa yang membuatkan pelantikan ini lebih mengejutkan dan memalukan adalah pelantikan ini dibuat tiga bulan selepas pendakwaan dan penjatuhan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta kepada Najib pada 28 Julai yang lalu atas kesalahan rasuah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa berkaitan dengan kes SRC-1MDB yang bernilai RM42 juta," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, semalam dilaporkan Najib selaku ahli parlimen Pekan dipilih sebagai pengerusi BNBBC.

Laporan The Malaysian Insight memetik sumber sebagai berkata, bekas perdana menteri itu diberikan peranan utama bermula sidang Dewan Rakyat yang bermula esok, terutama dalam perbahasan Belanjawan 2021.

“Najib dilantik baru-baru ini menjelang sidang Parlimen supaya beliau boleh mengendalikan wakil rakyat BN di dewan,” kata sumber seperti dipetik, yang turut menyatakan Najib akan berperanan menyelesaikan sebarang pertikaian antara Umno dan Bersatu.

Bagaimanapun, Lim berpendapat bahawa pelantikan Najib sebagai pengerusi BNBBC dan pengiktirafan pelantikan ini oleh pihak parlimen adalah satu perkara yang jelas bertentangan dengan “membawa keadilan kepada rakyat Malaysia”.

"Ahli Parlimen daripada kedua-dua belah Dewan Rakyat perlu mendengar penghakiman Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang mengatakan sabitan terhadap Najib pada 28 Julai lalu adalah salah satu kes penyalahgunaan kuasa yang terburuk.

"Dalam penghakiman 500 muka surat beliau, hakim tersebut mengatakan walaupun Najib telah menyumbang kepada kebajikan dan penambahbaikan kehidupan rakyat dalam pelbagai bentuk, mahkamah akan membiarkan sejarah untuk menentukan sama ada mantan perdana menteri tersebut telah melakukan lebih banyak kebaikan berbanding dengan keburukan.

"Masih setuju dengan pelantikan Najib sebagai pengerusi BNBBC?" soal Lim.