Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Persatuan minyak sawit sambut baik permit kerja sementara buat Pati

Sebarang keputusan kerajaan untuk memberi permit kerja sementara kepada pekerja asing tanpa izin (Pati) akan membantu penggiat perladangan dan pekebun kecil menampung kekurangan tenaga kerja yang menyebabkan 20-30 peratus potensi pengeluaran tidak dapat dihasilkan.

Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) berkata langkah itu juga membolehkan industri mengoptimumkan pulangan daripada harga semasa yang memberangsangkan selain membantu kerajaan meningkatkan kutipan hasil cukai.

“Pihak industri menyambut baik kenyataan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini bahawa kerajaan kerajaan sedang mempertimbang untuk memberi permit kerja sementara kepada pekerja asing tanpa izin yang berada di negara ini bagi mengatasi masalah kekurangan pekerja asing dalam industri kelapa sawit dan getah.

“Kami amat mengalu-alukan usaha kerajaan untuk meleraikan kesukaran industri dan para pekebun kecil serta memperakui kepentingan sumbangan minyak sawit terhadap kesejahteraan ekonomi negara.

“Malah, kami berharap inisiatif itu dapat dilaksanakan seberapa segera,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MPOA Mohamad Nageeb Wahab dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga menegaskan bahawa pihak industri telah mengambil langkah berani dan usaha lain untuk mengambil khidmat tenaga kerja tempatan dalam sektor perladangan, namun sambutannya tidak sebegitu menggalakkan setakat ini.

Pihak industri juga memberi tumpuan serius terhadap usaha automasi dan penggunaan jentera dalam operasi estet untuk mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja namun keberkesanan pelaksanaannya hanya dapat dilihat pada masa akan datang, kata Mohamad Nageeb.

“Adalah diharapkan kerajaan akan turut mempertimbang untuk membenarkan pekerja yang sedang bercuti di negara asal untuk kembali ke sini selain menamatkan larangan pengambilan pekerja asing untuk sektor ini tidak berapa lama lagi.

“Pihak industri memberi jaminan akan mematuhi semua Prosedur Operasi Standard (SOP) dan garis panduan yang ditetapkan oleh kerajaan selain menyokong semua usaha bagi menangani pandemik COVID-19 di negara ini,” kata beliau.

- Bernama