'Saya faham kemarahan anda, tapi tak akan terima keganasan'
GLOBAL | Dalam usaha meredakan keadaan, Presiden Perancis Emmanuel Macron berkata dia memahami kemarahan dunia Islam terhadap penerbitan karikatur Nabi Muhammad, tetapi menegaskan ia bukan alasan untuk tindakan ganas.
Dalam wawancara bersama Al Jazeera yang dipetik Reuters, Macron berkata Perancis akan terus mempertahan kebebasan bersuara di negara itu.
"Saya faham dan hormati yang ada orang akan terkejut dengan kartun ini, tetapi saya tak akan menerima bahawa ia boleh menjustifikasikan keganasan fizikal dan akan sentiasa mempertahan kebebasan untuk menulis, melukis dan berfikir di negara saya," katanya seperti dipetik Reuters hari ini.
Bagaimanapun, katanya lagi, ia tidak bermakna dia sendiri menyokong kartun itu atau Perancis sebuah negara anti-Islam.
Dalam ucapannya ketika pengkebumian Paty, Macron antara lain mengisytiharkan "perang" terhadap apa yang disifatkannya sebagai "pemisah Muslim" dan menyifatkan Islam sebagai agama "dalam krisis".
Ia mencetuskan bantahan di negara majoriti Muslim - termasuk Malaysia - serta seruan boikot terhadap produk keluaran negara itu.
Pada Khamis lalu, seorang individu membunuh tiga orang di sebuah gereja di Nice, disyaki berkaitan dengan insiden karikatur itu.
Kini ribuan tentera dikerahkan untuk berkawal di rumah ibadat dan sekolah, susulan risiko serangan yang sama berulang.
Di Malaysia, Kementerian Luar dalam kenyataan mengecam karikatur tersebut yang disifatkan sebagai provokatif dan tidak menghormati Islam dan penganutnya.
“Malaysia menjunjung hak kebebasan bersuara serta hak asasi manusia selagi mana ia digunakan secara bertanggungjawab dan penuh hormat, sekali gus tidak menafikan serta melanggar hak pihak lain," kata Menteri Luar Hishammuddin Hussein.
Jakim pula hari ini menasihati orang Islam di Malaysia agar berhati-hati dalam sebarang tindak balas berhubung isu karikatur Nabi Muhammad dan tidak melalukan perkara di luar batasan agama dan undang-undang.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Abdul Aziz Jusoh berkata, ia dikhuatiri mencetuskan suasana tidak harmoni antara masyarakat berbilang agama di negara ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai