Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

'Beri bantuan terbaik buat guru agar mereka boleh bantu murid jadi terbaik'

Kesemua guru harus dibantu supaya dapat menonjolkan prestasi terbaik ketika bekerja, kata finalis anugerah Global Teacher Prize 2020 Samuel Isaiah.

Jelas Samuel, ini terutama bagi guru yang ditempatkan bertugas di kawasan mencabar.

Samuel, yang mengundang perhatian ramai susulan khidmatnya terhadap masyarakat Orang Asli di Pahang berkata dia secara peribadi diajar untuk selalu meletakkan keperluan orang lain sebelum diri sendiri.

“Kedua ibu-bapa saya ajar saya untuk tidak sayangkan duit, tidak sayangkan kejayaan.

“Tetapi untuk pentingkan keperluan orang lain, itu didikan yang saya terima. Tetapi kalau kita bercakap soal untuk elakkan burnout (hilang semangat bekerja), kita perlu bantu guru,” kata bekas guru Inggeris di SK Runchang, Muadzam Shah, Pahang.

“Kita tak boleh jangka secara realistik semua guru akan lakukan perkara sama seperti guru yang akan melakukan apa sahaja untuk murid.

“Kerana akhirnya, kita perlu sedar, ini adalah satu pekerjaan,” katanya yang lebih dikenali sebagai Teacher Sam di sekolahnya.

Tahun lalu dia mengambil cuti untuk melanjutkan pengajian peringkat Sarjana Dasar Pendidikan dan Kepemimpinan di State University of New York di Albany.

Sebagai pemegang biasiswa Fulbright, dia juga berhasrat untuk memainkan peranan dalam dasar pendidikan Orang Asli.

Pemuda berasal dari Kuantan itu telah kembali ke Malaysia susulan penularan pandemik Covid-19.

“Saya tidak suka bercakap soal cabaran yang saya lalui kerana saya ikhlas dan sanggup lakukannya berulang kali.

“Tetapi saya tidak boleh harapkan semua orang juga lakukan hal sama. Itu tidak masuk akal,” katanya.

“Maka untuk elakkan burnout , saya rasa kita perlu pastikan guru mendapat bantuan untuk melakukan apa saja supaya mereka boleh lakukan terbaik dalam masa tujuh jam waktu bekerja,” jelasnya.

Selain itu, Samuel juga berkata guru sewajarnya diberi sokongan untuk meluaskan potensi mereka, termasuk menjadi pemimpin di bilik darjah.

Samuel turut mengambil maklum bahawa tugas guru juga sering dilanjutkan sehingga disifatkan sebagai membebankan.

“Saya bangga menilai apa anak murid saya buat.

“Bolehkah ia jadi senang, boleh. Penilaian bukan kerja perkeranian, itu apa yang patut kita lakukan,” katanya lagi.

Selain itu Samuel turut mengulangi, polisi kerajaan perlu diteliti supaya bantuan boleh diberikan kepada guru.

Samuel berkata demikian dalam webinar yang dianjurkan Edufication, gerakan yang dia tubuhkan untuk meningkatkan pendidikan di Malaysia.

Selain itu, kumpulan itu juga ditubuhkan bagi mengembangkan sektor pendidikan dan mengatasi masalah melibatkan pendidikan.