Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pejuang gesa menteri, pendaftar pertubuhan jawab permohonan daftar parti

Parti Pejuang menggesa Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin dan Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (JPPM) untuk memutuskan dengan segera dan jelas mengenai permohonan pendaftaran parti itu.

Setelah lebih dua bulan permohonan bertulis dan atas talian lengkap dikemukakan kepada JPPM, sehingga kini masih belum ada tanda-tanda Pejuang akan diluluskan," kata satu kenyataan media yang setiausaha agung parti itu, AMiruddin Hamzah hari ini.

Menurutnya, mereka telah mengirim permohonan bertulis dan dalam talian yang lengkap kepada ketua pengarah JPPM pada 19 Ogos.

Pada 15 September, Pejuang telah menghubungi JPPM untuk meminta mengadakan pertemuan, yang kemudiannya diadakan pada 28 September, di mana ROS mencadangkan beberapa perubahan pada perlembagaan parti.

Beberapa hari kemudian pada 2 Oktober, perlembagaan parti yang dipinda sekali lagi diserahkan kepada JPPM untuk diproses.

Pada 12 Oktober, Pejuang kembali ke JPPM untuk bertanya mengenai status permohonan mereka, dan satu lagi surat serupa telah dikirimkan kepada Hamzah pada 22 Oktober.

Juga pada 22 Oktober, Amiruddin mengatakan Pejuang telah mengirim permohonan lain kepada JPPM untuk menggunakan logo dan laman sesawang mereka sementara menunggu keputusan mengenai permohonan pendaftaran parti itu.

Namun, katanya, semua permohonan mereka tidak mendapat respons bertulis daripada Hamzah atau JPPM.

Amiruddin menegaskan bahawa kelewatan dalam permohonan Pejuang sangat berbeza dengan pendaftaran dua pihak lain iaitu Parti Makkal Sakti Malaysia, yang permohonan mereka diluluskan dalam dua minggu dan juga Perikatan Nasional yang diluluskan dengan cepat.

"Pihak jawatankuasa penaja Pejuang sekali lagi ingin menteri dalam negeri dan ketua pengarah JPPM untuk membuat suatu keputusan segera dan jelas agar pendaftaran Pejuang diluluskan mengikut prinsip undang-undang.

"Tiga bulan tanpa sebarang jawapan bertulis adalah tidak munasabah dan ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa JPPM kini kembali menjadi alat kerajaan bermotifkan politik sehingga menimbulkan kecurigaan di kalangan rakyat," katanya.

Pejuang diasaskan oleh Mahathir setelah dia dan beberapa yang lain dipecat dari Bersatu, parti yang sebelum ini juga diasaskan oleh Mahathir.