Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

44 anggota polis di Selangor jalani kuarantin kendiri

Sejumlah 44 anggota polis di Selangor kini sedang menjalani kuarantin kendiri kerana mempunyai kontak rapat dengan orang awam yang terdedah dengan jangkitan Covid-19, kata Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaluddin.

Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menasihatkan mereka untuk berbuat demikian dan ia tidak memberi kesan kepada penugasan anggota di lapangan seluruh Selangor.

“Sebagai contoh, setakat ini hanya seorang anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang sementara seorang isteri kepada anggota bertugas di IPD Kajang didapati positif wabak itu,” katanya dalam sidang media Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Serdang di IPD Serdang, di Serdang, hari ini.

Mengulas pertanyaan sama ada IPD atau balai polis yang ditutup kerana Covid-19, Noor Azam berkata tiada keperluan untuk menutup mana-mana IPD atau balai polis berikutan kes positif berkenaan.

"Macam pernah berlaku dulu di Balai Polis Pandamaran, Klang, di mana seramai 33 anggota polis didapati positif Covid-19. Untuk menangani masalah itu, kami menutup operasi di balai terlibat dan meminta orang ramai yang hendak berurusan di situ pergi ke balai polis berhampiran.

“Tindakan itu terpaksa diambil berikutan ramai anggota polis yang bertugas di balai itu (Balai Polis Pandamaran) terpaksa dikuarantin," katanya.

Noor Azam berkata polis Selangor telah menugaskan seramai 60 anggota polis setiap syif bagi penugasan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketakan (PKPD) di seluruh Selangor.

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai pencemaran sungai di Selangor, beliau berkata pihaknya telah menubuhkan satu pasukan khas bersama agensi penguatkuasa lain untuk menangani kes berkenaan.

“Kami telah berbincang dengan pihak Lembaga Urus Air Selangor untuk menyelesaikan siasatan bersama masalah pencemaran sungai di negeri ini.

“Pasukan khas ini akan mencari dan mengenal pasti punca sebenar pencemaran Sungai Kundang dan Sungai Gong dan kami telah membuka kertas siasatan untuk kedua-dua kes ini,” katanya.

Terdahulu, ACP Razali Abu Samah dilantik menjadi Ketua Polis Daerah Serdang yang baru menggantikan ACP Ismadi Borhan yang dilantik sebagai Penolong Pengarah Kepolisan Am, Bahagian Pengurusan Dasar/Sumber, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman,

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.