Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

'Tolak Belanjawan 2021 rugikan seluruh negara, bukan PM saja'

Usaha pihak tertentu yang didakwa mahu menolak Belanjawan 2021 bukan sahaja akan merugikan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin semata-mata.

Sebaliknya kata Naib Presiden PAS, Mohd Amar Abdullah, jika perkara itu berlaku ia turut merugikan dan menjejaskan seluruh negara.

"Bagi saya sebarang cita-cita politik perlu 'cuti' dahulu buat masa ini. Apa yang penting kita kena ada kerjasama dan persefahaman dulu sepertimana titah Yang di-Pertuan Agong supaya Belanjawan 2021 diluluskan tanpa sebarang gangguan.

"Sebab kita dengar ada desas-desus politik ini (adalah) usaha untuk menjejaskan kedudukan perdana menteri dengan menolak belanjawan. Penolakan terhadap bajet itu dianggap satu isyarat penolakan terhadap pimpinan perdana menteri.

"Kalau perkara ini berlaku, yang ruginya bukan perdana menteri seorang tetapi seluruh negara sebab bajet itu takkan berjalan," katanya pada sidang media selepas merasmikam Majlis Anugerah Kewartawanan Kelantan 2019/2020 di Kota Bharu, malam tadi.

Timbalan menteri besar Kelantan itu berkata demikian sebagai mengulas senario semasa politik negara.

Terdahulu, Muhyiddin gagal mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk pengisytiharan darurat.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Abdullah menyampaikan hadiah kepada penerima Majlis Anugerah Kewartawanan Kelantan di Kota Bharu, malam tadi.

Tindakan Muhyiddin memohon pengisytiharan darurat itu menerima reaksi pelbagai, dengan ada yang menyokong ia sebagai usaha memerangi Covid-19.

Sementara pihak yang tidak menyokong pengisytiharan darurat menyifatkan ia sebagai usaha Muhyiddin mempertahankan kedudukan susulan spekulasi yang mengatakan presiden Bersatu itu mungkin tidak lagi memegang sokongan majoriti di parlimen dan seterusnya akan kalah dalam undian Belanjawan 2021 bulan depan.

Sementara itu mengulas mengenai peranan media, Mohd Amar berkata, pengamal media perlu menjadi ejen bagi menyatupadukan semua pihak.

"Sebab sekarang ini kita berada dalam keadaan kritikal dalam politik negara. Jadi sebarang keputusan yang silap akan memberi kesan yang besar kepada masa depan Malaysia dan rakyat.

"Sebab itulah saya menyambut baik titah seri paduka baginda yang menasihatkan ahli-ahli politik supaya kurangkan berpolitik kerana kita sedang berdepan isu Covid-19 yang membimbangkan," jelasnya.