Menteri agama tulis surat kepada kedutaan Perancis, hadiahkan sirah nabi
Susulan peristiwa karikatur Nabi Muhammad oleh majalah satira terbitan Charlie Hebdo di Perancis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Mohamad hari ini menulis surat khusus kepada Kedutaan Perancis di Malaysia.
Dalam suratnya itu, Zulkifli menyuarakan dukacitanya terhadap insiden yang pada mulanya berlaku pada 2015 serta memberitahu pendiriannya mewakili umat Islam di Malaysia bahawa ekstremisme dan keganasan tidak mewakili mana-mana agama di dunia ini.
“Kita sebagai pemimpin masyarakat mesti mengutuk tindakan tersebut, khususnya dengan meyakinkan anak muda yang berpotensi melakukan perkara sedemikian, supaya dapat menjauhkan diri dari tindakan itu dan menzahirkan tentangan mereka dengan cara yang aman dan damai,” tulisnya dalam surat tersebut.
Mengulas mengenai perkembangan terkini berhubung insiden berkaitan Charlie Hebdo itu, Zulkifli menekankan tentang kepentingan hidup harmoni sesama sendiri.
Dalam surat yang ditulis sempena Rabiulawal yang juga bulan kelahiran Rasulullah SAW, Zulkifli turut berkata Islam bukanlah agama yang asing di Perancis.
Beliau menyorot kisah antara Suleiman I (Sulaiman al-Qanuni) atau dikenali sebagai ‘Sulaiman yang hebat’ (Suleiman the magnificent) dan Francis I dalam perikatan Perancis-Uthmaniyyah.
“Kami sebagai umat Islam tidak akan membalas karikatur provokasi itu atau ucapan kurang enak secara umum. (Sebaliknya), kami berpegang teguh dengan sabda Nabi Muhammad, “Mereka yang paling baik adalah mereka yang tidak menyakiti orang lain melalui lidah (kata-kata) atau tangannya.”
Pada masa sama, Zulkifli turut menghadiahkan senaskah buku sirah nabi agar kedutaan Perancis mempelajari mengenai kehidupan Nabi muhammad dan karakternya yang indah.
“Perancis adalah antara negara Eropah pertama mengadakan hubungan diplomatik dengan Malaysia selepas negara ini mencapai kemerdekaannya pada 1957.
“Semoga peristiwa ini memberi pengertian yang besar dalam memaknakan lagi hubungan erat antara Malaysia dan Perancis,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Untuk rekod, Charlie Hebdo, atas alasan memperjuangkan kebebasan bersuara, menerbitkan semula kartun kontroversi menghina Nabi Muhammad yang menjadi punca serangan itu, sekali gus menimbulkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.
Terbaru, seorang guru Perancis dibunuh selepas menunjukkan kepada pelajarnya karikatur Nabi Muhammad sebagai sebahagian dari satu perbincangan kelas mengenai kebebasan bersuara. Ia secara tidak langsung mencetuskan perasaan tidak puas hati umat Islam.
Pada masa sama, Presiden Emmanuel Macron menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu “serangan pengganas Islamis.”
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai