Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Jawatankuasa Etika Hakim, pengerusi mohon batal saman Hamid Sultan

Jawatankuasa Etika Hakim dan pengerusinya telah mengemukakan permohonan untuk membatalkan saman ke atas mereka yang difailkan oleh hakim Mahkamah Rayuan, Hamid Sultan Abu Backer.

Permohonan itu difailkan oleh seorang peguam persekutuan di Pejabat Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur, semalam.

Pada 13 Oktober lalu, adalah dilaporkan bahawa Hamid Sultan memfailkan saman pemula untuk mencabar siasatan jawatankuasa berkenaan terhadap afidavitnya berhubung dakwaan salah guna kuasa dan kepincangan di badan kehakiman.

Menurut salinan permohonan yang dilihat oleh Malaysiakini hari ini, jawatankuasa itu dan pengerusinya berusaha untuk membatalkan saman Hamid Sultan di bawah Aturan 18 Kaedah 19 (1) (b) atau (d) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 .

Aturan 18 Kaedah 19 (1) (b) dan Kaedah 19 (1) (d) memberi kuasa kepada mahkamah, pada mana-mana tahap proses prosiding, untuk mengeluarkan perintah membatalkan sebarang writ, dengan alasan bahawa ia adalah mengaibkan, remeh atau menyusahkan serta suatu penyalahgunaan proses mahkamah.

Permohonan membatalkan saman itu turut memohon penangguhan sementara daripada tindakan undang-undang Hamid Sultan sementara menunggu permohonan tersebut dibatalkan.

"Alasan permohonan ini adalah bahawa permohonan (saman) pelaintif (Hamid Sultan) adalah mengaibkan, remeh atau menyusahkan dan permohonan plaintif adalah suatu penyalahgunaan proses mahkamah yang mulia ini,” mengikut tuntutan itu.

Selain jawatankuasa dan pengerusinya, saman itu juga menamakan peguam Sangeet Kaur Deo dan Mohamed Haniff Khatri Abdulla sebagai defendan dalam permohonan tersebut.

Pada 16 Ogos, adalah dilaporkan bahawa Hamid Sultan telah menerima surat tunjuk sebab daripada Jawatankuasa Etika Hakim berkaitan dengan afidavit tersebut.

Hamid Sultan telah membuat beberapa tuntutan dalam afidavitnya yang difailkan pada bulan Februari tahun lalu, yang mendorong kerajaan Pakatan Harapan ketika itu untuk mempertimbangkan penubuhan sebuah suruhanjaya siasatan diraja.

Namun, penubuhan suruhanjaya itu tidak menjadi kenyataan apabila kerajaan Pakatan Harapan tumbang pada akhir Februari tahun ini.

[Baca berita penuh]