Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

MP PKR gesa Anwar tolak sokongan Najib

Ahli Parlimen Pasir Gudang PKR, Hassan Karim menggesa Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk menolak sokongan bekas perdana menteri, Najib Razak.

Sementara seorang bekas pemimpin PKR juga mempersoalkan tawaran yang dibuat kepada Najib untuk menyokong Anwar.

Perkembangan itu hadir setelah Najib mencadangkan agar BN mempertimbangkan untuk menyokong Anwar, dengan syarat tidak melibatkan DAP dan dengan Umno diberi peranan dalam kewangan dan ekonomi negara.

Bercakap kepada Malaysiakini, Hassan berkata bahawa bekerja dengan bekas presiden Umno itu bukan langkah bijak.

"Saya sebagai ahli parlimen PKR tidak boleh terima Najib Razak. Saya harap presiden PKR selaku pengerusi PH serta ketua pembangkang tidak wajar ada kerjasama dengan Najib.

"Saya lihat belum apa-apa Najib sudah letak syarat dia tidak mahu kerjasama dengan DAP jika sokong Anwar. Siapa Najib untuk tentukan syarat itu?" soalnya.

Anwar sebelum ini mengaku memiliki sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan baru.

Najib, bersama dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, dikatakan telah menandatangani surat kepada Yang di-Pertuan Agong yang menyuarakan sokongan kepada presiden PKR itu.

Pembantu Zahid mendakwa surat itu palsu, tetapi Najib terus berdiam diri mengenai perkara itu.

Perseteruan antara Umno dan DAP juga menjadi halangan dalam rancangan Anwar.

Hassan mengatakan bahawa PKR tidak boleh memutuskan hubungan dengan DAP hanya untuk bekerjasama dengan Najib.

"Malaysia perlu ditadbir oleh sebuah kerajaan gabungan parti politik pelbagai kaum.

"PKR dan DAP adalah dua parti teras yang boleh membawa Malaysia ke hadapan," katanya.

Sementara itu, bekas timbalan ketua Pemuda PKR Dr Afif Bahardin mempersoalkan alasan Najib menyokong Anwar.

"Apa agaknya tawaran untuk Najib sampai dia sanggup sokong ini?" katanya di Twitter.

Afif merupakan antara ahli politik yang dikaitkan dengan Mohamed Azmin Ali. Kedua-dua mereka sudah menyertai Bersatu susulan pertukaran kerajaan pada Mac.

[Baca berita penuh]