Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Lelaki dituduh bunuh bayi, cederakan isteri

Seorang bapa hari ini dihadapkan dengan dua pertuduhan termasuk membunuh anak lelakinya yang berusia lapan bulan di Kampung Sungai Dua, Repek, Bachok, pada 13 Oktober lalu.

Wan Roslan Wan Mustapa, 40, didakwa di Mahkamah Majistret Pasir Puteh, Kelantan.

Ketika pertuduhan dibacakan di hadapan majistret Mohd Dinie Shazwan Ab Shukor, tertuduh dilihat mengangguk sebagai tanda dia memahaminya.

Mengikut pertuduhan pertama, Wan Roslan didakwa menyebabkan kematian anak kandungnya, Wan Mohamad Afiq Zafwan dalam kejadian jam 10 pagi di sebuah rumah di Kampung Sungai Dua, Repek.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Wan Roslan - di lokasi dan tarikh yang sama - dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya, Nor Hanifah Mohamad, 32, menggunakan sebatang penyapu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 324 dan dibaca bersama Sesyen 326A Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan dia boleh dihukum penjara tidak lebih 10 tahun atau denda atau dengan sebat, atau dengan mana-mana dua hukuman berkenaan.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan oleh mahkamah pada prosiding hari ini.

Siti Asma’a Che Omar, bertindak sebagai pegawai pendakwa manakala Muhamad Izwan Ishak mewakili Wan Roslan.

Terdahulu seorang bayi lelaki berusia lapan bulan ditemui mati dalam keadaan menyayat hati dalam karung guni yang disorok di bahagian dapur rumah dengan keadaan badannya dilumuri garam.

Sementara itu, mahkamah memerintahkan tertuduh di hantar ke Hospital Bahagia di Ulu Kinta, Perak selama sebulan untuk pemerhatian.

Selain itu, mahkamah menetapkan 24 Nov untuk sebutan semula kes tersebut dan penyerahan tiga dokumen iaitu laporan psikiatri, bedah siasat dan laporan kimia.