'Darurat talian hayat Muhyiddin tapi pukulan maut ekonomi rakyat'
Senator Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad mendakwa langkah kabinet untuk mengisytiharkan "darurat" bukanlah bertujuan mempermudah kepimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin memerangi Covid-19.
Sebaliknya, kata Raja Kamarul ia menjadi talian hayat buat kepimpinan Muhyiddin.
"Motif utama Muhyiddin bukan untuk menyelamatkan rakyat dari Covid tetapi untuk talian hayat politiknya sendiri bagi meneruskan kerakusan untuk berkuasa seperti di tunjukan di Sabah dan terus menjadi perdana menteri.
"Yang mencadangkan (isytihar) darurat di mesyuarat kabinet dilaporkan adalah Azmin Ali dari Bersatu, yang bercita-cita tinggi menjadi perdana menteri selepas Muhyiddin.
"Yang menyokong cadangan tersebut adalah Takiyuddin dari PAS. Menteri dari PAS jugalah yang telah melanggar peraturan kuarantin Covid-19 selepas pulang dari Turki tanpa dikenakan hukuman sepatutnya.
"Si pencetus punca masalahlah yang mencadangkan hak rakyat melalui ahli parlimen di sekat dengan darurat dengan parlimen digantung," dakwanya dalam satu kenyataan.
'Abah tak serius SOP menteri'
Mengulas lanjut, Raja Kamarul turut mempersoalkan "apakah sandiwara Muhyiddin yang kononnya mahu menyelamatkan Malaysia melalui darurat."
"(Ini) apabila dia sendiri menjadi pencetus kepada berlakunya pilihan raya negeri (PRN) Sabah, yang mengakibatkan pandemik Covid-19 merebak lebih luas.
"Abah jugalah yang tidak serius dengan SOP Covid-19 dengan tidak mengenakan hukuman sepatutnya ke atas menterinya yang melanggar peraturan kuarantin sementara rakyat biasa didenda dan di penjarakan serta ugutan dirotan.
"Jadi kalau peraturan biasa pun tidak diambil berat oleh Muhyiddin serta menteri, untuk apakah sebenarnya undang-undang darurat yang boleh merosakan ekonomi negara akan diadakan kalau tidak hanya untuk menyelamatkan kuasanya sebagai perdana menteri semata mata," soalnya.
Menurut Raja Kamarul, undang-undang dilihat hanya untuk menghukum rakyat biasa yang lemah tetapi menteri-menteri terlepas dari hukuman.
Oleh itu, katanya beliau bimbang sekiranya undang-undang darurat kelak akan disalahgunakan untuk "menindas rakyat marhaen sementara menteri-menteri akan terus bermaharajalela dengan angkuh."
Beliau juga berkata pandangan yang disuarakannya itu turut dikongsi ramai pihak, termasuk bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan (gambar, atas) dan Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.
"...begitu ramai lagi tokoh negara bersependapat yang darurat ini tali hayat yang akan menyelamatkan Muhyiddin dan akan menjahanamkan ekonomi Malaysia yang sedang parah," kata Raja Kamarul lagi.
Mohamad Hasan sebelum ini menggesa kerajaan menangani krisis Covid-19 dengan mempertahankan perlembagaan serta membenarkan demokrasi berfungsi.
Tanpa menyebut langkah 'darurat', Mohamad berkata kerajaan tidak patut menambah kesengsaraan yang dialami rakyat ketika ini dan wabak itu hanya akan dapat diatasi dengan pendekatan saintifik, pemulihan ekonomi dan kepatuhan kepada perlembagaan.
Dr Mahathir pula berkata darurat tidak akan dapat menghentikan penularan wabak Covid-19 lebih baik daripada apa yang ada sekarang, sebaliknya hanya memberikan kuasa tambahan kepada perdana menteri.
Sementara itu, Tengku Razaleigh pula berkata beliau terkejut apabila mendengar kabinet mencadangkan pengiytiharan darurat.
“Saya kecewa dan terkejut apabila perdana menteri (dengan sokongan kabinetnya) sedang meminta perkenan YDPA untuk mengisytiharkan darurat, dan dipercayai (untuk) meletakkan dirinya sebagai pentadbir kerajaan dalam darurat yang mempunyai kuasa yang besar,” katanya.
'Darurat elak undi belanjawan'
Ramai pengkritik berpendapat langkah Muhyiddin itu bertujuan mengelakkan kerajaan Perikatan Nasional yang dilihat 'rapuh' itu daripada tewas dalam undi Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah akan mengadakan pertemuan dengan Majlis Raja-Raja Melayu hari ini, dijangka bagi membincangkan permintaan kabinet untuk mengisytiharkan "darurat", yang dilaporkan akan mempermudah pertempuran melawan wabak Covid-19.
Dalam perkembangan berkaitan, Anggota Parlimen Ipoh Timur Wong Kah Woh berkata tindakan Muhyiddin yang juga presiden Bersatu itu disifatkan sebagai melampau.
"Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin bimbang kerajaan PN akan jatuh sekiranya Belanjawan 2021 tidak dapat diluluskan.
"Muhyiddin jelas telah bertindak melampau (overdo) dalam situasi yang dihadapi sekarang.
"Walaupun bukan setiap kali rang undang-undang kerajaan ditewaskan membawa kepada kejatuhan kerajaan, tetapi ia adalah cukup untuk menunjukkan kerajaan yang sedia ada tidak mempunyai sokongan yang mantap," katanya dalam satu kenyataan.
Wong berkata Muhyiddin sepatutnya memulakan proses konsultansi dan rundingan Belanjawan 2021 dengan blok pembangkang.
"Ia bagi memastikan peruntukan-peruntukan yang disalurkan tepat pada hasratnya dan sampai kepada rakyat secara optimum. Janganlah Muhyddin Yassin takut pada bayangnya sendiri.
"Kini, Muhyddin Yassin begitu khuatir dengan kedudukannya, sehingga hendak melaksanakan darurat atas nama Covid-19.
"Adakah Muhyddin Yassin tidak mempunyai keyakinan terhadap Belanjawan 2021 yang bakal dibentangkan, atau beliau tidak mempunyai keyakinan terhadap 113 ahli parlimen PN beliau," soal Wong.
Tambah Wong Muhyddin harus berkelakuan sebagai seorang negarawan yang sanggup menghadapi cabaran lantaran daripada ancaman Covid-19 bersama-sama dengan kesemua anggota Parlimen pada ketika ini, dan bukannya bertindak sebagai seorang pengecut sehingga merosakkan system domokrasi berparlimen yang sedia ada.
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai