Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pesakit Covid-19 boleh dirawat di rumah tapi mesti diawasi ketat - Pakar

Pesakit Covid-19 boleh dirawat di rumah masing-masing namun ia memerlukan pengawasan ketat dan kerap daripada pihak kesihatan.

Presiden Persatuan Doktor Kesihatan Awam Dr Zainal Ariffin Omar berkata langkah itu perlu diambil bagi mengelakkan sebarang kemungkinan tidak diingini seperti peningkatan kes kematian.

“Apabila kerajaan memilih untuk merawat pesakit di rumah, mereka kena pertingkatkan pengawasan dan periksa cepat-cepat.

“[…] tetapi kena ingatkan (jika tiada pengawasan kerap, kemungkinan) kematian akan meningkat sedikit, sebab rawatan di rumah mungkin (sesuai) bagi pesakit ringan tetapi jika (sudah) teruk, susah.

"Kita nak elakkan kemungkinan itu berlaku,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Tambah Zainal Ariffin, selain rawatan di rumah, kerajaan juga boleh mempertimbangkan untuk membina pusat komuniti khusus untuk pesakit Covid-19.

Namun jelas Zainal Ariffin, dia memahami keadaan semasa di Sabah yang tidak mempunyai dewan besar untuk menampung jumlah pesakit positif Covid-19 yang kian meningkat.

“Apa yang terbaik ialah jika kerajaan boleh buat pusat komuniti untuk pesakit Covid-19, tetapi hendak lakukan pun Sabah tiada kemudahan pusat besar seperti Maeps (di Serdang) dan pendatang tanpa izin ramai.

“Kalau tak buat rawatan di rumah, akan jadi masalah lain pula seperti hospital yang penuh dan banyak masalah lain,” katanya lagi.

Tiada asas saintifik tapi logik

Terdahulu, jurucakap rasmi Covid-19 di Sabah Masidi Manjun mengatakan negeri itu sedang membuat persediaan untuk membolehkan pesakit Covid-19 dirawat di rumah masing-masing.

Jelas Masidi, langkah itu adalah satu daripada beberapa strategi yang diambil kerajaan Sabah untuk menangani pesakit Covid-19 yang ramai di negeri itu.

"Dengan itu ia akan membolehkan mereka tidak perlu ke pusat kuarantin atau pusat rawatan, misalnya, dan ia berkesan jika mereka tinggal bersendirian, atau berdua dan berada di tempat sama dan boleh mengkuarantin diri sendiri," katanya. 

Sementara itu, pakar penyakit berjangkit Dr Sazaly Abu Bakar pula menyifatkan bahawa cadangan Sabah untuk merawat pesakit Covid-19 di rumah tiada asas saintifik tetapi ada logiknya.

“Strategi itu terpaksa dilakukan melihat kepada jumlah positif (pesakit Covid-19) yang kian ramai dan jika dalam satu kawasan semua ada jangkitan dan kita hendak masukkan ke dalam hospital itu tidak praktikal.

“Pada pandangan saya, berdasarkan pengalaman, apabila sudah terlalu ramai (pesakit) boleh untuk dirawat di rumah, tetapi saya cadangkan isi rumah yang negatif (Covid-19) dibawa keluar.

“Jadi strategi kerajaan ini tiada asas saintifik tetapi ada logiknya sebab kalau tidak dilakukan hospital di Sabah memang akan penuh dan sesak,” katanya lagi.

Selain itu, Sazaly turut berkata jika pesakit awal Covid-19 merupakan anak muda yang tidak mempunyai penyakit kronik, mereka boleh dirawat di rumah kerana kebanyakan antara mereka akan pulih sepenuhnya kecuali jika lewat dikesan dan diberikan rawatan.

Tambah Sazaly lagi, dia berpendapat kerajaan negeri Sabah membuat keputusan sedemikian setelah mengambil ikhtibar dari cara Singapura merawat warga asing di negara itu.

“Kita lihat di Singapura, ketika penularan warga asing meningkat, mereka tidak dimasukkan di hospital tetapi dirawat di rumah sahaja, mereka tinggal di kuarters supaya tidak bercampur dengan komuniti.

“Saya rasa mereka (kerajaan Sabah) belajar dari situ dan boleh diperbaiki dengan pengawasan rapi dari pihak kesihatan negeri itu,” katanya lagi.