Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kluster baru di KL, Selangor dan Sabah

Tiga lagi kluster baru dilaporkan hari ini di Sabah, Kuala Lumpur dan Selangor, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Kluster tersebut dikenal pasti sebagai Kluster Samudera dan Kluster Palma dengan kes indeks berpunca daripada hasil saringan bergejala, serta Kluster Jaya dengan kes indeks hasil saringan di tempat kerja.

"Kluster Samudera melibatkan daerah Sandakan, Sabah. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-22612) dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 20 Okt dan dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent.

"Saringan kontak rapat mengenal pasti tujuh lagi kes positif Covid-19. Sehingga 12 tengah hari ini sejumlah lapan individu disaring dengan lapan kes dikesan positif (termasuk dua kes baru hari ini)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Kluster Palma melibatkan daerah Gombak dan Hulu Selangor di Selangor serta Kepong di Kuala Lumpur.

Dr Noor Hisham berkata, kes indeks (iaitu kes ke-20399) dikenal pasti positif hasil saringan individu bergejala pada 17 Okt dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

Dia berkata saringan kontak rapat mengenal pasti 12 lagi kes positif dan sehingga 12 tengah hari ini, sejumlah 101 individu disaring, dengan 13 kes dikesan positif Covid-19 (sembilan kes baru) dan 88 individu masih menunggu keputusan.

Dr Noor Hisham berkata Kluster Jaya pula melibatkan daerah Sepang di Selangor dan Seremban di Negeri Sembilan dengan sembilan kes dikesan telah dikesan positif setakat hari ini.

Dia berkata kes indeks bagi kluster itu telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan di tempat kerja pada 20 Okt lepas dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

Seramai 48 individu telah disaring manakala 39 lagi masih menunggu keputusan, katanya.

-Bernama