Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Trump tinggalkan temu bual, siarkan rakaman lebih awal di laman sosial

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menyiarkan rakaman temu bual penuh pada Khamis sebelum tarikh tayangannya, dan dengan tiba-tiba meninggalkan sesi rakaman itu ketika sedang bercakap dengan wartawan, lapor agensi Anadolu.

Dalam temu bual dengan CBS News '60 Minutes', Lesley Stahl terlebih dahulu mengajukan soalan kepada Trump adakah beliau bersedia untuk beberapa pertanyaan yang sukar, pantas dijawab presiden, "lakukannya dengan adil."

Menjelang penghujung temu bual selama 37 minit, yang merangkumi isu Covid-19 sehingga keadaan ekonomi AS, Trump menegur Stahl tentang soalan pembukaannya dan berkata "Itu bukan caranya untuk bercakap."

Sejurus selepas itu, kedengaran suara penerbit mengatakan mereka mempunyai lima minit sebelum Naib Presiden Mike Pence tiba untuk menyertai temu bual itu.

"Baiklah, saya rasa kita sudah cukup dengan temu bual ini. Ok, sudah cukup, Mari kita pergi," Trump menjawab kepada penerbit dan mengakhiri wawancara itu secara tiba-tiba tanpa menunggu Pence.

Apabila Trump menyiarkan segmen penuh temu bual itu di halaman Facebooknya, beliau menulis "Lihatlah berat sebelah, kebencian dan kebiadaban di pihak 60 Minutes dan CBS," dan berkongsi kenyataan yang sama di Twitter.

CBS News mengatakan Trump melanggar perjanjian dengan saluran berita itu apabila Rumah Putih mengeluarkan rakaman itu tiga hari lebih awal daripada tarikh sepatutnya, pada Ahad.

"Keputusan dibuat Rumah Putih itu belum pernah terjadi sebelum ini, telah mengabaikan perjanjian mereka dengan CBS News dan tindakan itu tidak menghalang 60 Minutes untuk memberikan laporan penuh, adil dan kontekstual yang telah disertai oleh presiden selama beberapa dekad," kata saluran itu.

CBS berkata pada awalnya Rumah Putih bersetuju untuk merakamkan temu bual itu "untuk tujuan arkib sahaja."

- Bernama