ULASAN | Thailand, Harry Porter dan The Hunger Games
Hampir seluruh dunia mengetahui, menentang sistem monarki di Thailand adalah langkah yang membunuh diri kerana sejak lahir lagi, orang Thailand diajarkan untuk menghormati dan mencintai monarki dan diajarkan takut membicarakan apa sahaja kuasa diraja.
Thailand adalah salah satu daripada beberapa negara yang mengguna pakai undang-undang lese majeste.
Perkataan Latin tersebut membawa maksud barang siapa yang didapati cuba atau telah pun mengeluarkan perkataan yang menghina terhadap institusi diraja, kaum kerabat dan para pemimpin-pemimpin negara, maka mereka akan didakwa di bawah peruntukan undang-undang lese majeste.
Antara negara-negara Eropah yang mengamalkan undang-undang lese majeste ini adalah seperti Itali, Switzerland dan Poland.
Di Timur Tengah pula diamalkan negara seperti Kuwait, Jordan dan Arab Saudi.
Walaupun undang-undang lese majeste Thailand mempertuntukkan hukuman penjara antara tiga hingga 15 tahun jika disabitkan kesalahan, sejak kebelakangan ini, suara protes prodemokrasi kian bergema di seluruh Thailand dan aktivis pelajar, Panusaya Sithijirawattanakul seperti ribuan lagi yang lain sanggup menempah risiko melanggar undang-undang tersebut.
"Saya tahu hidup saya tidak akan pernah sama lagi," ujarnya sebagaimana yang dilaporkan BBC News.
Panusaya ‘Rung’ Sithijirawattanakul, seorang aktivis politikal, aktivis prodemokrasi dan juga pemimpin universiti.
Dia, jurucakap Persatuan Mahasiswa Thailand, mengaku takut tatkala mengambil langkah yang amat berisiko tinggi dengan mengkritik sistem monarki di Thailand.
Ogos lalu, dia dengan gugup naik ke pentas di Bangkok dan menyuarakan tentangan terbuka terhadap sistem monarki.
Di hadapan himpunan ribuan mahasiswa bertemakan Harry Porter itu, beliau meneriakkan tuntutan manifesto 10 poin penting yang menyeru reformasi terhadap sistem monarki.
Lalu riuh disambut peserta himpunan sambil mengangkat tabik tiga jari.
Simbol tabik tiga jari digunakan dalam filem The Hunger Games (bawah) yang mengisahkan perjuangan kumpulan pemberontak menentang rejim diktator.
Manifesto
Antara kandungan manifesto tersebut adalah menuntut supaya monarki bertanggungjawab kepada institusi-institusi yang dipilih rakyat, mengurangkan bebanan perbelanjaan kerajaan, dan agar monarki tidak lagi campur tangan dalam urusan politik di Thailand.
Mereka juga menyarankan agar larangan raja untuk menyatakan pandangan politiknya, dan perlindungan untuk menghalangnya daripada menyokong rampasan kuasa di masa akan datang.
Mahasiswa itu juga meminta pengunduran Perdana Menteri Prayut Chan-o-cha, Perlembagaan baru digubal semula, pilihan raya yang lebih telus, bebas dan adil, serta menghentikan serangan terhadap parti pembangkang.
Untuk lebih memahami apa yang sedang berlaku di Thailand ini, ia berkait rapat dengan rampasan kuasa kudeta yang dilakukan oleh perdana menteri Thailand ketika ini iaitu Prayut Chan-o-cha pada tahun 2014 yang membawa kepada terbentuknya kerajaan junta hingga sekarang.
Negara itu, sejak tahun 1932 telah menyaksikan 12 siri rampasan kuasa.
Pada dua siri terakhir iaitu pada tahun 2006 dan 2014, pihak tentera yang merampas kuasa membuat keputusan mengekalkan pengaruh kebal dan keistimewaan pihak istana.
Seterusnya pilihan raya Thailand tahun 2019 yang dimenangi kerajaan konservatif pimpinan Prayut turut dikritik hebat kerana disifatkan sebagai tidak adil kerana ia dilaksanakan mengikut perlembagaan tentera, sekali gus dilihat sebagai menyebelahi Prayut.
Ini diburukkan lagi, apabila kerajaan Prayut telah membubarkan parti lawan yang dilihat sering mencabar kepimpinan Prayut Chan-o-cha iaitu parti Future Forward Party (bawah) pada Februari 2020 yang lalu hingga mencetuskan rusuhan.
Pembubaran parti dan pengharaman anggotanya daripada terbabit politik termasuk pemimpinnya, Thanathorn Juangroongruangkit, menimbulkan kemarahan umum yang semakin kritikal terhadap kerajaan dikuasai bekas jeneral tersebut.
Ketika wabak Covid-19 sampai ke negara itu pada Mac 2020, siri rusuhan tersebut disejukkan sedikit bagi mengekang penularan virus tersebut namun kembali marak sejak bulan Julai, apabila mahasiswa terus memberikan tekanan kepada kerajaan dan menyentuh kekebalan institusi diraja Thailand.
Selain itu, sejak awal 2020 rakyat Thailand juga dilihat menzahirkan rasa tidak puas hati mereka kepada raja sekarang iaitu Raja Maha Vajiralongkorn yang terkenal dengan jolokan Don Juan dan terpalit dengan pelbagai kontroversi sebelum diangkat menjadi raja Thailand.
Rakyat juga tidak senang apabila pihak tentera memberikan Maha Vajiralongkorn (bawah) kawalan penuh kepada Crown Property Bureau, yang menguruskan aset monarki Thailand yang mencecah bilion dolar.
Apa yang lebih menjengkelkan lagi, apabila raja mereka tiada di Thailand untuk menenangkan keadaan tatkala pandemik Covid melanda dan memilih untuk berada di Jerman bersama para gundiknya.
Raja Maha Vajiralongkorn pada awalnya mengeluarkan kenyataan supaya para pendemo tidak dikenakan hukuman yang keras mengikut undang-undang lese majeste namun kerajaan Payut dengan keras memperingatkan mereka agar tidak menghina sistem monarki.
Guna meriam air
Pihak berkuasa juga belum menunjukkan sebarang tanda-tanda bersedia untuk memenuhi sebarang tuntutan para penunjuk perasaan.
Sebagai tindak balas protes yang kian berlarutan, kerajaan Thailand telah menahan puluhan aktivis dan jurucakap prodemokrasi serta mengisytiharkan darurat bermula 15 Oktober yang lalu dan mengharamkan sebarang bentuk perhimpunan membabitkan lebih daripada empat orang.
Selain itu rakyatnya dilarang sama sekali menyebarkan penerbitan berita atau mesej dalam talian yang mampu menggugat keselamatan negara.
Walau apa pun, tunjuk perasaan masih diteruskan sehingga Jumaat lalu dan polis terpaksa menggunakan meriam air bagi menyuraikan para pelajar yang berazam mahu tuntutan mereka itu dilaksanakan.
Berikutan tunjuk perasaan itu yang didakwa oleh kerajaan Thailand boleh mengancam keselamatan negara, Raja Maha Vajiralongkorn bertitah baru-baru ini bahawa negara ini memerlukan orang yang menyintai negara dan menyayangi monarki.
Kalau di pengakhiran cerita Hunger Games, para pemberontak akhirnya berjaya menakluk Capitol dan Harry Porter pula berjaya menundukkan He-Who-Must-Not-Be-Named dengan Expelliarmusnya, apakah pengakhiran kemelut politik di negara Gajah Putih ini?
Segalanya belum dapat kita jangkakan.
Namun, apa yang pasti, banyak pengajaran yang dunia dan kita boleh ambil daripada kemelut tersebut dan molek kita renungkan maksud tersirat daripada peribahasa Melayu lama yang berbunyi:
“Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah”
Justeru raja dan rakyat berpisah tiada dan masing-masing berperanan memakmurkan negara mengikut neraca yang Allah SWT tentukan.
Moga Malaysia akan terus dikurniakan pemimpin yang adil dan amanah serta takutkan Allah SWT yang mampu memandu Malaysia menjadi negara yang baldatan toyyibatan wa robbun ghaffur.
ATRIZA UMAR adalah seorang penterjemah, penceramah, ghostwriter, aktivis politik dan sukarelawan dakwah lapangan. Berkhidmat di Jabatan Penerangan dan Perhubungan Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai