Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Hampir semua mahu sekatan ketat di Lembah Klang - Tinjauan MKN

Hampir semua responden dalam tinjauan oleh Majlis Keselamatan Nasional (MKN) menyokong sekatan ketat terhadap aktiviti sosial di Lembah Klang.

Pungutan suara dihantar melalui saluran Telegram rasmi MKN malam tadi, yang mempunyai lebih daripada 1.2 juta pelanggan. Telegram adalah aplikasi pesanan.

Jejak pendapat itu bertanya kepada responden jika mereka setuju dengan pernyataan, “SOP perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur, dan Putrajaya mengenai aktiviti sosial perlu diperketat."

Pada saat tinjauan ditutup, lebih daripada 169,000 undian dibuat.

Daripada jumlah tersebut, 91 peratus menyokong pernyataan itu, manakala selebihnya sembilan peratus tidak setuju.

PKP bersyarat di Lembah Klang dikenakan mulai 14 Oktober dan dijadualkan berakhir pada 27 Oktober depan.

Sekatan tersebut dikenakan sebagai tindak balas terhadap lonjakan kes Covid-19 di wilayah itu sejak akhir September, berikutan kedatangan pelancong dari Sabah.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata persoalan sekiranya PKPB akan dilanjutkan minggu depan atau tidak bergantung pada tahap pembiakan virus Covid-19 di kawasan ini

Awal hari ini, beliau berkata nilai kebolehjangkitan (Rt) di Selangor adalah 1.4, berbanding 1.3 di Sabah dan 0.7 di Kedah.

Untuk rekod, garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia menetapkan wabak Covid-19 dianggap terkawal jika Rt tetap di bawah 1.0 untuk sekurang-kurangnya dua minggu.

Garis panduan tersebut juga menyarankan petunjuk lain yang mungkin digunakan tetapi dianggap Rt sebagai pilihan terbaik.

Pada masa ini, penduduk di Lembah Klang diizinkan bekerja, tetapi perjalanan rentas daerah dan antara negeri dilarang selain daripada pengecualian keadaan tertentu.

Makan di restoran dibenarkan tetapi terhad kepada dua orang setiap meja dan aktiviti sukan yang melibatkan hubungan fizikal dilarang.

Tempat hiburan tidak dibenarkan dibuka dan upacara perkahwinan tidak dibenarkan.

Masjid dan rumah ibadat ditutup untuk orang ramai, tetapi jemaah terpilih seramai enam orang dibenarkan untuk melakukan solat atau upacara yang diperlukan.

Mulai esok, pekerja tertentu di industri di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) dan penjawat awam di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), yang berada di kawasan di bawah PKPB, juga diwajibkan bekerja dari rumah.

Arahan itu melibatkan pekerja peringkat pengurusan dan penyeliaan.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.