Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ujian Covid-19 percuma diperluas pada semua pencarum Perkeso

Program Saringan Prihatin (PSP) Perkeso akan diperluas kepada semua penyumbang di zon perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Selangor, Sabah dan wilayah persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan berkuat kuasa esok.

Majikan yang layak boleh melakukan ujian swab Covid-19 untuk pekerja secara percuma melalui panel perkhidmatan yang dilantik oleh Perkeso dengan membuat janji temu untuk pemeriksaan dan menyerahkan maklumat lengkap mereka kepada panel perkhidmatan, kata Menteri Sumber Manusia M Saravanan dalam satu kenyataan hari ini.

Senarai Panel Perkhidmatan Perkeso boleh didapati di Direktori Panel Perkhidmatan yang dipaparkan di pautan ini.

"Proses saringan boleh dilakukan di klinik/makmal ataupun dijalankan di premis pekerjaan.

"Hanya saringan melalui panel perkhidmatan ditanggung sepenuhnya oleh Perkeso," kata Saravanan.

Sementara itu, bagi majikan yang memilih subsidi, pemeriksaan Covid-19 dapat dilakukan di mana-mana makmal selain panel perkhidmatan.

Bagaimanapun, kos pemeriksaan mesti dibiayai oleh majikan terlebih dahulu sebelum majikan dapat menuntut pembayaran subsidi secara dalam talian dengan mengemukakan resit pembayaran.

Setelah mendapat kelulusan tuntutan tersebut, Perkeso akan membuat pembayaran balik subsidi sehingga RM150 untuk setiap pekerja yang telah menjalani pemeriksaan Covid-19.

"Kedua-dua kemudahan tersebut terhad untuk dijalankan melalui majikan sahaja.

"Peluasan capaian PSP Perkeso ini terbuka kepada pekerja asing dan tempatan dalam semua sektor/industri.

"Pencarum yang pernah menjalani saringan PSP sebelum ini boleh menjalani saringan semula selaras dengan pengumuman yang telah dibuat," katanya.

Saravanan juga berkata majikan dan pekerja diingatkan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan sewaktu menjalani ujian saringan Covid-19 agar proses berjalan dengan selamat dan tidak terdedah kepada risiko jangkitan.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh diemelkan ke [email protected] atau menghubungi 1-300-22-8000 ATAU 03-4264 5089.

Maklumat lanjut tentang program ini boleh diperolehi melalui Soalan-soalan Lazim (FAQ) bagi peluasan PSP Perkeso yang akan dimuat naik ke laman sesawang dan media sosial rasmi Perkeso.

Pengumuman Saravanan dibuat setelah Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob semalam mengatakan bahawa mereka yang perlu pergi ke tempat kerja yang berada di zon merah di bawah PKPB perlu mengambil ujian swab.

Ketika membuat pengumuman itu, Ismail mengatakan bahawa Perkeso akan menanggung kos ujian swab untuk penyumbang.