NGO M'sia solidariti secara maya dengan penunjuk perasaan Thailand
Rakyat Malaysia boleh bersolidariti bersama penunjuk perasaan di Thailand melalui acara nyalaan lilin secara atas talian pada pukul lapan malam ini.
Acara anjuran NGO Jaringan Hak Asasi Manusia (JHAM) itu dibuat melalui Zoom dan akan disertai pemimpin NGO Malaysia dan aktivis Thailand.
Sementara itu, wakil Biro Perhubungan Antarabangsa PSM Choo Choon Kai turut menulis surat terbuka kepada duta Thailand ke Malaysia Narong Sasitorn bagi menyuarakan kebimbangannya terhadap tindakan kerajaan Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha yang dilaporkan menekan gerakan pro-demokrasi.
"Kami telah menyaksikan demonstrasi prodemokrasi besar-besaran dalam beberapa bulan terakhir ini, di mana mereka mengemukakan tuntutan untuk perubahan demokrasi.
“Kerajaan Thailand yang dipimpin oleh Prayut Chan-o-cha telah mengambil langkah-langkah menindas termasuk pengisytiharan perintah darurat pada 15 Oktober 2020,” katanya.
Pada Khamis lalu, kerajaan Thailand melarang semua perhimpunan politik melibatkan lima individu atau lebih. Polis menangkap lebih 50 orang sepanjang minggu lalu, termasuk beberapa pemimpin protes.
Selain itu, penerbitan berita atau mesej secara dalam talian lain yang didakwa boleh menjejaskan keselamatan negara, mencetuskan kebimbangan atau menyebarkan maklumat palsu turut dilarang.
Antara tuntutan penunjuk perasaan adalah penyingkiran Prayuth - seorang bekas pemerintah tentera - yang antara lain didakwa mengatur pilihan raya tahun lalu untuk mengekalkan kuasa yang diperolehinya dalam rampasan kuasa 2014. Dia menafikan dakwaan itu.
Kritikan juga ditujukan kepada Raja Thailand, Maha Vajiralongkorn walau dengan risiko hukuman penjara 15 tahun di bawah undang-undang lese majeste kerana menghina institusi diraja.
Choo mendakwa ramai aktivis prodemokrasi ditahan sejak beberapa hari lalu - kebanyakan atas dakwaan hasutan atau melanggar perintah darurat - dan tidak dibenarkan untuk ikat jamin.
“Tindakan ini merupakan satu cubaan daripada kerajaan Thailand untuk menutup mulut gerakan prodemokrasi.
“Kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kerajaan Thailand terhadap gerakan prodemokrasi,” katanya.
Terbaru, polis Thailand mengarahkan agar siasatan dilakukan ke atas empat media berhubung laporan mengenai tunjuk perasaan antikerajaan di Bangkok minggu lepas.
Menurut laporan, empat media dan laman Facebook milik sebuah kumpulan tunjuk perasaan didakwa melanggar perintah darurat selain menyebarkan kandungan dan maklumat yang diputar belit sehingga menimbulkan kekeliruan.
Empat media itu ialah Voice TV, Prachathai.com, The Reporter, THE STANDARD manakala laman Facebook pula milik kumpulan protes Free YOUTH.
Antara aktivis yang ditahan adalah peguam hak asasi manusia Anon Nampa, aktivis pelajar Prasit Karutarote, Parit Chiwarak, Panusaya Sithijirawattanakul dan Nutchanon Pairoj dan bekas banduan lese majeste Ekachai Hongkangwan dan Somyot Pruksakasemsuk.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai