Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Sistem persaraan Malaysia di tangga ke-3 Asia - kajian

Sistem pendapatan persaraan Malaysia berada di kedudukan ketiga di Asia dan ke-19 secara keseluruhan oleh Indeks Persaraan Global Mercer CFA Institute tahunan ke-12, kajian mengenai 39 sistem pendapatan persaraan di seluruh dunia yang meliputi hampir dua pertiga daripada populasi dunia.

Bagaimanapun, nilai indeks keseluruhan Malaysia susut sedikit daripada 60.6 pada 2019 kepada 60.1 pada 2020 berikutan beberapa pergerakan kecil dalam sub-indeks kemampanan, menurut Mercer, anak syarikat milik penuh Marsh & McLennan Companies dalam kenyataan hari ini.

“Daripada tiga sub-indeks kajian, Malaysia mencatatkan skor tertinggi bagi integriti (78), diikuti kemampanan (58.6) dan kecukupan (50.1). Purata global sebanyak 71.3 untuk integriti, kemampanan (50) dan kecukupan (60.8),” katanya.

Indeks Persaraan Global 2020, yang mengukur setiap sistem persaraan melalui tiga sub-indeks, iaitu kemampanan, kecukupan dan integriti, turut termasuk dua sistem baru - Belgium dan Israel.

Laporan itu menyatakan Malaysia berada di kedudukan ke-13 bagi kemampanan yang mengukur kemungkinan sistem dapat menyediakan manfaat untuk masa depan; ke-18 bagi integriti yang mengambil kira faktor seperti kawal selia, tadbir urus, komunikasi dan kos operasi; dan ke-31 bagi kecukupan, yang melihat kepada antaranya manfaat, reka bentuk sistem, tahap simpanan dan pemilikan rumah untuk menentukan keupayaannya menyediakan pendapatan persaraan yang mencukupi.

Ketua Perniagaan Kekayaan Mercer bagi Asia Janet Li berkata suatu yang membanggakan apabila melihat Malaysia terus berada di kedudukan melebihi purata global untuk integriti dan kemampanan.

Nilai indeks keseluruhan untuk sistem Malaysia dapat ditambah baik dengan meningkatkan tahap minimum sokongan untuk kumpulan berusia termiskin, selain menaikkan tahap simpanan isi rumah dan mengurangkan paras hutang isi rumah.

“Berdasarkan jangka hayat yang bertambah, usia persaraan juga perlu dinaikkan. Keperluan bahawa manfaat persaraan perlu diambil kira sebagai aliran pendapatan juga perlu dipertimbangkan,” katanya.

Menurut laporan itu, Malaysia mengekalkan gred ‘”C+”, bermaksud sistem pencen mempunyai beberapa ciri yang baik, tetapi risiko utama atau kekurangan perlu ditangani.

“Negara telah diberikan gred yang sama dengan beberapa negara maju seperti Hong Kong, Perancis dan Amerika Syarikat,” katanya.

-Bernama