Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Umno Perak dakwa MB tak hormati perjanjian dalam PN

Umno Perak mendakwa Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu tidak menghormati persefahaman dan perjanjian yang dimeterai ketika pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Pengerusi Umno Perak Saarani Mohamad membangkitkan tindakan Faizal - yang juga timbalan presiden Bersatu - yang melantik Adun Umno Aznel Ibrahim sebagai setiausaha politiknya, yang menurut Saarani dibuat tanpa perbincangan dengan Umno.

Menurut Saarani, Umno, Bersatu dan PAS telah membuat perjanjian bertulis ketika membentuk kerajaan negeri untuk saling menghormati dalam urusan pelantikan sama ada untuk kedudukan Exco, ahli lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan dan lantikan politik lain.

"Sewajarnya, pelantikan mana-mana Adun atau pemimpin Umno dalam kerajaan hendaklah dibincangkan dengan badan perhubungan negeri atas semangat setiakawan dan prinsip hormat-menghormati.

"Bagaimanapun, nampaknya persefahaman serta perjanjian ketika pembentukan kerajaan negeri PN sudah tidak dihormati. Hakikatnya, ia sudah berkali-kali dilanggari," katanya dalam kenyataan hari ini.

Saarani

Aznel yang merupakan Adun Pengkalan hulu mengangkat sumpah jawatan setiausaha politik menteri besar pada 15 Oktober lalu, bagi menggantikan Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dari Bersatu.

Semalam, Pemuda Umno Perak turut mempersoalkan pelantikan itu dan menuntut penjelasan daripada kepimpinan Umno negeri itu.

"Tugas setiausaha politik untuk membantu tugas politik dan memberikan nasihat yang sewajarnya kepada situasi politik di kawasan Parlimen, negeri atau di Malaysia. Sudah tentu ia bakal menimbulkan konflik dalam melaksanakan tugas sama ada menjaga kerahsiaan Umno atau menjaga hal ehwal serta survival politik seorang menteri besar daripada Bersatu," katanya dalam kenyataan.

'Umno ada 25 kerusi'

Saarani berkata lagi, Umno Perak sebelum ini cuba untuk tidak membangkitkan sebarang isu secara terbuka kerana mahu mengekalkan kerjasama di saat penularan wabak Covid-19.

"Namun suasana yang cuba dibina itu tidak dihargai dengan baik apabila satu demi satu tindakan Faizal membelakangi semangat ini.

"Tumpuan untuk menjaga kepentingan rakyat tidak diberi penekanan dengan tindakan yang dibuat tanpa semangat musyawarah berpasukan, kerjasama dan perjanjian yang dipersetujui bersama dan telah ditandatangani," katanya lagi.

Dia mengingatkan bahawa Umno memegang kerusi paling banyak dalam DUN Perak - iaitu sebanyak 25 kerusi - tetapi tetap memberi sokongan apabila jawatan menteri besar diberikan kepada Bersatu.

Ahmad Faizal Azumu

"Namun janganlah sikap keterbukaan, ketaatan serta tindakan berdiam diri kami selama ini dianggap sebagai kelemahan dan Umno Perak boleh diperkotak-katikkan," katanya lagi.

Terdahulu, Adun PH di Perak mendakwa hubungan antara Umno dan Bersatu di sana seperti "bom jangka" yang boleh membawa kepada kejatuhan pentadbiran PN.

Bagaimanapun Saarani ketika itu menyangkal tanggapan itu dengan menyifatkan kerjasama dengan PH adalah "satu mimpi negeri".

Pentadbiran Perikatan Nasional (PN) Perak kini menguasai 35 kerusi dengan Umno (25), PAS (tiga), Bersatu (empat) dan tiga kerusi bebas (yang dipegang oleh bekas anggota DAP dan Amanah).

PH pula memegang 24 kerusi.