Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Isu kesihatan Sabah bawah Kementerian Pembangunan Masyarakat negeri

Kerajaan Sabah setuju agar tugas dan tanggungjawab Kementerian Kesihatan di Sabah diletak di bawah Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat kecuali hal-hal yang melibatkan pengurusan Covid-19.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Masidi Manjun, yang juga jurucakap rasmi berkaitan Covid-19 bagi Sabah, berkata pihaknya yang diketuai Ir Shahelmey Yahya mengendalikan perkara berkaitan bantuan makanan kepada penduduk terjejas di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan.

Menteri Kewangan II itu berkata persetujuan itu telah dicapai dalam mesyuarat Kabinet minggu lepas.

Ketiadaan jawatan Menteri Kesihatan dalam Kabinet Sabah tidak bermakna kerajaan negeri mengabaikan kesihatan rakyat di negeri itu, katanya pada sidang media di Wisma Innoprise di Kota Kinabalu malam tadi.

Turut hadir Shahelmy, Pengarah Majlis Keselamatan Negeri Shariffa Sitti Saleha Habib Yusof dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Dr Christina Rundi.

Masidi berkata kerajaan negeri menjalin kerjasama dengan kerajaan pusat yang mempunyai kuasa undang-undang selain Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid negeri bagi menangani virus itu.

Dia juga berkata setakat ini, hospital kerajaan di negeri itu mempunyai set peralatan perlindungan diri (PPE) yang mencukupi sekali gus menafikan dakwaan bahawa terdapat kekurangan PPE di Hospital Ranau seperti yang tular dalam media sosial.

"Sekiranya terdapat kekurangan PPE, hospital lain di negeri ini akan segera menyalurkan bantuan kepada hospital yang memerlukan bantuan segera termasuk daripada pihak Angkatan Tentera Malaysia," katanya.

Dalam kenyataan media yang diedarkan selepas sidang media itu, Masidi memaklumkan bahawa seramai 26,379 kakitangan di bawah JKNS sedang mengendalikan kes Covid-19 di Sabah.

Pasukan itu termasuk 255 petugas perubatan kesihatan awam dari Semenanjung dan Sarawak.

-Bernama