Puluhan ribu warga Thai turun ke jalan raya di sebalik larangan
GLOBAL | Puluhan ribu turun ke jalan raya di Bangkok dan kota Thailand yang lain pada Sabtu walau dengan tindak balas kerajaan setelah tiga bulan siri demonstrasi terhadap perdana menteri dan monarki.
Ramai berkata mereka tercetus untuk bertindak setelah polis menggunakan meriam air pada Jumaat, untuk menyuraikan ribuan peserta demonstrasi yang diketuai golongan muda, termasuk kanak-kanak.
"Ia memang melampau. Kami ingin tunjuk kepada mereka kuasa kami dan yang kami tidak boleh menerimanya," kata Tang, seorang pekerja berusia 27 tahun di tengah-tengah ribuan yang berkumpul di stesen Lat Phrao di ibu kota Bangkok.
Usaha polis untuk menghalang demonstran dengan menutup pengangkutan awam Bangkok memakan diri apabila ia membawa kepada demonstrasi setempat di sekitar bandar raya itu, melibatkan tiga pusat utama dan beberapa demonstrasi kecil lain. Selain itu, demonstrasi turut dibuat di sekurang-kurangnya enam bandar di luar Bangkok.
Polis tidak masuk campur dan protes tamat selepas beberapa jam.
"Kami terutamanya akan berunding," kata jurucakap polis Yingyos Thepjamnong dalam sidang media. "Penguatkuasaan undang-undang akan dibuat satu demi satu, menggunakan kaedah yang selaras dengan piawaian antarabangsa."
Demonstran mendesak penyingkiran Perdana Menteri Prayuth Chan-ocha, seorang bekas pemerintah tentera. Mereka juga secara terbuka kian kritikal terhadap Raja Thailand, Maha Vajiralongkorn walau dengan undang-undang lese majeste yang membawa kepada hukuman penjara 15 tahun kerana menghina institusi diraja.
Pada Khamis lalu, kerajaan melarang semua perhimpunan politik melibatkan lima individu atau lebih. Polis telah menangkap lebih 50 orang sepanjang minggu lalu, termasuk beberapa pemimpin protes.
'Menjejaskan negara'
Jurucakap kerajaan Anucha Burapachaisri memberitahu Reuters: "Tiada menang atau kalah untuk mana-mana pihak. Ini semua keroasakan kepada negara."
Pihak istana tidak membuat sebarang komen berhubung protes tetapi raja berkata Thailand memerlukan warga yang cintakan negara dan monariki.
Demonstran berkata Prayuth mengatur pilihan raya tahun lalu untuk mengekalkan kuasa yang diperolehinya dalam rampasan kuasa 2014 - satu tuduhan yang dinafikannya. Mereka juga berkata monarki sekian lama membantu mengekalkan pengaruh politik oleh tentera dan ingin kuasanya dibataskan.
Demonstran di Lat Phrao melaungkan "Prayuth undur: serta kata-kata lain yang lebih keras.
"Saya mengecam mereka yang bertindak balas terhadap peserta dan mereka yang mengarahkannya. Ada darah di tangan anda semua," kata pemimpin protes Tattep Ruangprapaikitseree selepas dibebaskan dengan ikat jamin susulan penangkapannya pada Jumaat.
Ikat jamin juga diberikan kepada seorang daripada dua aktivis yang didakwa kerana mengancam permaisuri - pertuduhan yang jarang digunakan dan boleh membawa hukuman penjara seumur hidup - setelah peserta demonstrasi menjerit ke arah rombongan keretanya pada Rabu.
Raja dan permaisuri menghabiskan kebanyakan masa di Eropah dan kini dalam kunjungan paling lama di Thailand untuk tahun ini.
Pada kebanyakan masa, Raja Maha Vajiralongkorn tinggal di Jerman dan seorang diplomat negara itu berkata kerajaan memantau dengan rapat perkembangan politik di Thailand.
"Pertembungan ganas perlu dielakkan. Ekspresi secara aman perlu dibolehkan," katanya.
Kumpulan hak asasi mengecam tangkapan-tangkapan yang dibuat serta penggunaan kekerasan terhadap protes aman.
"Kerajaan yang prihatin serta Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu parlu bersuara secara terbuka untuk mendesak pengakhiran segera tekanan politik oleh pentabdiran Prayuth," kata pengarah Human Rights Watch (Asia), Brad Adams.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai