Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

K'jaan laksana PKPB di Labuan

Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Wilayah Persekutuan Labuan berkuat kuasa 17 hingga 30 Okt ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, keputusan itu dicapai pada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini, selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mengambil kira peningkatan kes serta penularan Covid-19 di kawasan tersebut.

“Bagi prosedur operasi standard (SOP) PKPB di Labuan, semua aktiviti ekonomi termasuk industri dan perkilangan adalah dibenarkan.

“Bagaimanapun, pergerakan keluar masuk merentas negeri tidak dibenarkan kecuali bagi kes kecemasan dan pekerja yang mempunyai pas pekerja,” katanya pada sidang media secara maya menerusi Facebook Kementerian Pertahanan.

Mengulas lanjut, beliau berkata memandangkan Labuan merupakan kawasan aktiviti perairan, perkhidmatan pengangkutan air seperti feri Ro-Ro, feri ekspres dan bot laju dibenarkan beroperasi sehingga 6 petang dengan kapasiti terhad selain mematuhi SOP yang ditetapkan.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.