Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kakitangan penjara reman P Pinang perlu jalani saringan seterusnya

Semua kakitangan Penjara Reman Pulau Pinang kemungkinan perlu menjalani ujian saringan berikutnya bagi memastikan mereka tidak dijangkiti Covid-19, kata Pengarahnya Mohamed Jusoh Ismail.

Beliau berkata semalam pihaknya telah menerima keputusan ujian saringan kedua semua kaki tangan yang mempunyai kontak rapat kepada banduan positif Covid-19, dan keputusan tersebut adalah negatif.

"Ujian saringan seterusnya perlu kerana ada dalam kalangan kaki tangan penjara yang perlu mengiringi doktor ketika memeriksa banduan disahkan positif dalam pusat rawatan di dalam penjara," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sejak 5 Okt lepas, Kluster Penjara Reman merekodkan sebanyak 189 kes dengan 11 kes baru dicatatkan semalam dan bermula pukul 12.01 tengah malam tadi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikuatkuasakan di kawasan Penjara Reman Pulau Pinang serta kuarters penjara.

Selain itu, Mohamed Jusoh berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menjalankan ujian saringan terhadap kontak rapat kepada kaki tangan penjara terdiri daripada ahli keluarga yang tinggal serumah.

"Setakat ini, kami belum mengetahui punca jangkitan Covid-19 di penjara dan ujian saringan petugas, semuanya negatif. Bagaimanapun, pihak KKM akan terus menjalankan siasatan dan pemantauan dari semasa ke semasa," katanya.

Berhubung PKPD di penjara dan kuarters, beliau berkata seramai 220 kaki tangan penjara yang tidak tinggal di kuarters tidak dibenarkan pulang ke rumah dan akan tinggal di kuarters sementara disediakan Jabatan Penjara Malaysia di dalam kawasan PKPD itu.

Katanya, ketika ini semua cuti kira-kira 320 orang kaki tangan penjara itu dibekukan dan pihaknya juga akan memastikan semua kaki tangan mematuhi arahan ditetapkan terutama prosedur operasi standard (SOP) ketika pelaksanaan PKPD.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata pemantauan mendapati pelaksanaan PKPD di kawasan terbabit berjalan lancar namun terdapat ramai pesakit datang ke Klinik Metadon Hospital Pulau Pinang (HPP) yang terletak bersebelahan Penjara Reman Pulau Pinang untuk menerima rawatan.

Katanya, perkara itu akan dibincangkan bersama KKM mengenai pengurusan pesakit yang menerima rawatan di klinik metadon berkenaan.

"Saya menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya menggunakan jalan alternatif seperti dimaklumkan semalam selepas tiga jalan yang terletak dalam PKPD ditutup kepada lalu lintas, pengguna jalan raya juga diminta memberi kerjasama kepada anggota polis dan trafik yang bertugas," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dalam kenyataan hari ini berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Pulau Pinang memaklumkan bahawa SOP ketat dipraktikkan semua pihak terutama Jabatan Penjara Negeri Pulau Pinang dan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) ketika pelaksanaan PKPD Penjara Reman Pulau Pinang.

"Pihak berkaitan akan membuat penilaian risiko dan mencadangkan sebarang keperluan lanjut dari semasa ke semasa. Setakat ini, menurut pihak polis semua berjalan lancar serta JKNPP juga memaklumkan kluster Penjara Reman dan Penjara Jawi ketika ini hanya membabitkan banduan.

"Saya juga berharap rakyat Pulau Pinang agar bersama-sama dengan kerajaan negeri dan petugas barisan hadapan dalam usaha memutuskan rantaian pandemik Covid-19. Jangan sesekali sebar atau viralkan maklumat tidak sahih hingga mencetuskan panik," katanya.

Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Selasa mengumumkan PKPD dilaksanakan ke atas penjara reman dan kuarters kediaman berkuat kuasa 15 Okt membabitkan 2,306 banduan, 304 petugas dan keluarga di kuarters kediaman. Turut terbabit 220 kaki tangan penjara yang tidak menetap di dalam kuarters.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.