Warga emas didakwa cederakan kucing jiran
Seorang warga emas didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini, atas tuduhan mencederakan seekor kucing milik jirannya.
Tertuduh Ab Hamid Ismail, 70, didakwa menyebabkan kesakitan tidak sepatutnya terhadap seekor kucing milik Nur Amalin Aishah Ariffin pada 17 Ogos lalu di Jalan Pintu Gang, Kota Bharu.
Difahamkan kejadian itu disyaki dilakukan dengan cara menembak menggunakan sepucuk pistol angin dan dipercayai terkena serpihan peluru di bahagian telinga kanan haiwan peliharaan itu.
Pertuduhan dibacakan sendiri oleh Ab Hamid di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Shahrul Rizal Majid, manakala pendakwaan dilaksanakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sharif Sabran.
Mengikut pertuduhan, Ab Hamid didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772).
Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.
Sementara itu Mohd Sharif menawarkan tertuduh dijamin dengan nilai RM5,000, namun peguam tertuduh memohon jumlah itu dikurangkan dengan kos seminima mungkin dengan alasan tertuduh seorang warga emas, tidak bekerja dan tidak dapat mengawal kemarahan ketika kejadian.
Sehubungan itu Shahrul Rizal menetapkan wang jaminan berjumlah RM3,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah kemudiannya menetapkan tarikh 22 November depan bagi proses serahan dokumen.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai