Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

AMK: Kenapa Armada tak lapor polis terhadap Muhyiddin?

Ketua Biro Wanita Pemuda PKR (AMK) Terengganu Yuslaini Azmi membidas Pemuda Bersatu (Armada) kerana membuat laporan polis terhadap presidennya, Anwar Ibrahim.

Ini selepas Armada membuat laporan polis mendakwa Anwar menimbulkan kegusaran pebagai pihak berikutan dakwaan memiliki sokongan lebih 120 ahli parlimen.

"Ketika Anwar mengumumkan punya majoriti pada 23 September lalu sebilangan MP (anggota parlimen) telah membuat laporan polis mengatakan mereka termasuk dalam kabinet Anwar walaupun Anwar Ibrahim tidak pernah mengeluarkan senarai nama sokongan ahli parlimen yang ada pada beliau.

"Hari ini mereka (Armada) membuat lagi sekali laporan polis terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana dikatakan beliau menghina institusi di raja.

"Persoalannya ketika Langkah Sheraton terjadi adakah Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan senarai nama ahli Parlimen yang menyokong beliau? 

"Kenapa Armada tidak membuat laporan polis terhadap PM yang kini sudah hilang majoriti?" Soal Yuslaini dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, ketua penerangan Armada, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir mendakwa tindakan Anwar itu merupakan penghinaan terhadap institusi diraja.

Yuslaini berkata, Armada sepatutnya khuatir dengan situasi Perikatan Nasional (PN) sekarang apabila Biro Politik Umno membuat keputusan agar parti itu mempertimbangkan untuk keluar daripada PN.

"Ini juga bermakna Tan Sri Muhyiddin Yassin automatik sudah hilang majoriti di Parlimen.

"Saya mahu bertanya pada Armada berapa senarai ahli Parlimen yang menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin jika Umno sendiri sudah bermain tarik tali dengan kerajaan sedia ada?

"Kami juga ingin tahu senarai nama yang menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana jika diikut sifir mudah tanpa Umno, PM sekarang sudah hilang majoriti," tegasnya.