Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ada penduduk di Semporna dakwa tak terima bekalan makanan

Sebilangan penduduk kampung di Semporna, Sabah yang diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mendakwa tidak menerima bekalan makanan mencukupi walaupun kerajaan memiliki pengalaman itu beberapa bulan yang lalu.

Penduduk kampung Air Air, Mukmin Nantang, 26, berkata kepada Malaysiakini bahawa ramai penduduk kampung tidak menerima bantuan makanan kerana senarai nama yang tidak lengkap.

Mukmin menganggarkan lebih separuh penduduk kampung Bangau-Bangau yang berhampiran kampungnya tidak menerima bekalan makanan pada 13 Okt.

"“Mereka tak faham di lapangan bagaimana. Jadi mereka sekadar ambil nama dari pihak-pihak tertentu dan bancian sebelum ini, tetapi itu tak menyeluruh. Jadi ada yang terlepas, seperti di rumah-rumah sewa.

“Sangat-sangat banyak (belum mendapat bantuan). Kalau di Kampung Bangau-Bangau tu, rasanya lebih separuh mungkin tak dapat,” tambahnya. 

Kementerian Kesihatan mengumumkan kluster baru Bangau-Bangau pada 22 Sept lalu yang melibatkan 400 kes Covid-19.

Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) dikenakan di daerah Semporna sejak 29 Sept, manakala enam daerah diletakkan di bawah PKPD dari 10 hingga 23 Okt.

Ini termasuk sembilan kampung di enam kawasan di Semporna: Kampung Bangau-Bangau Hujung, Kampung Bangau-Bangau Darat, Kampung Hallo, Kampung Ubian, Kampung Panji, Kampung Air, Kampung Selamat, Kampung Simunul dan Kampung Pinggir Bakau.

Selain itu, seluruh negeri Sabah juga dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dari 13 hingga 26 Okt.

Penduduk di bawah PDPD tidak dibenarkan meninggalkan rumah mereka dan akan menerima catuan makanan.

'Bekalan makanan bukan perkara suka-suka'

Susunan rumah di kampung berkenaan yang tidak teratur menjadi sebab mengapa beberapa keluarga tidak termasuk dalam senarai dan tidak mendapat bantuan, kata Mukmin, seorang aktivis sosial yang memperjuangkan pendidikan anak-anak tanpa kewarganegaraan di Semporna.

 “Kalau di Kampung Air contohnya, penempatan dia berselerak dan berselirat, dia kompleks.

“Jadi (rumah-rumah) perlu ditanda dan dipetakan semula, kena masukkan semua rumah dalam senarai, barulah senang nak agih bantuan," katanya.

Mukmin mendesak kerajaan mengambil serius agihan bantuan makanan memandangkan penduduk kampung tidak dibenarkan keluar rumah.

"Bukannya main hantar sahaja, selepas itu, agihkan - kalau cukup cukuplah, kalau tak cukup, pulang. Begitu sahaja,” katanya.  

Dia juga mendakwa kerajaan mengabaikan keperluan berbeza bagi penduduk kampung dan tidak menyediakan barangan keperluan seperti lampin bayi, susu formula, tuala wanita atau ubat-ubatan.

“Mereka fikir, hanya untuk keperluan makanan. Ubat-ubatan yang asas pun sepatutnya diberikan juga,” katanya. 

Meskipun penduduk tidak sepatutnya meninggalkan rumah mereka semasa PKPD, sesetengah penduduk kampung terpaksa membeli makanan di kedai runcit memandangkan mereka belum mendapat bantuan makanan yang dijanjikan.

Seorang penduduk Kampung Bangau-Bangau yang tak mahu dinamakan memberitahu Malaysiakini bahawa setakat hari keempat PKP, enam sekeluarga di rumahnya masih belum menerima bantuan makanan.

Mengakui bahawa bantuan makanan itu ada diterima oleh sebahagian penduduk kampung, sebahagian lagi - terutamanya yang tinggal di bahagian hujung kampung sepertinya - masih tidak mendapat makluman bila mereka akan menerima bantuan makanan tersebut.

“Rasanya lambat lagilah kot. Sebab ketua kampung belum ada (bagitahu) apa-apa lagi (bila menerima makanan,” katanya.

Ini bukan kali pertama penduduk di kawasan PKPD berdepan situasi sedemikian. Pada April, penduduk di Selayang mengadu terpaksa berlapar apabila bantuan makanan lambat diedarkan.

Isu itu timbul setelah penduduk menghubungi ahli Parlimen mereka bagi mendapatkan bantuan. Sesetengah penduduk hanya menerima bantuan empat hari selepas pelaksanaan PKPD.

Dalam bulan sama, Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob turut menolak untuk mengedarkan makanan kepada golongan pendatang di dua bangunan dikenakan PKPD di Kuala Lumpur, sebaliknya meminta kedutaan asing menyediakannya.

Selepas kenyataan itu dikritik banyak pihak, Datuk Bandar Kuala Lumpur ketika itu Nor Hisham Dahlan dan Menteri Wilayah Persekutuan berjanji akan membekalkan makanan penduduk di kedua-dua bangunan itu, termasuk warga asing yang tidak dibantu kedutaan masing-masing.

NGO turut bantu

Ketika dihubungi, pengasas bersama Semporna Heroes, Jamilah Ang berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah mula mengagihkan bekalan makanan.

Namun akuinya, sesetengah penduduk mungkin belum menerima bantuan lagi, dan hal itu tidak dapat dielakkan, sementara NGO-NGO sedang bekerja rapat dengan kerajaan untuk mengatasi masalah itu.

 “Setahu saya, JKM sudah edar pek makanan sejak minggu lepas. Bagaimanapun, susah untuk sampai kepada semua orang memandangkan sesetengah kampung di bawah PKPD ini adalah kawasan berisiko tinggi. Saya rasa mereka sedang berusaha sehabis baik untuk edar makanan.

“Dalam masa sama, NGO tempatan banyak membantu. Contohnya, mungkin hanya ada 600 pek makanan diperuntukkan untuk satu kampung, tetapi sebenarnya ada 630 penduduk yang memerlukannya. Jadi, apa yang NGO boleh buat adalah tambah mana yang kurang,” kata Jamilah kepada Malaysiakini.

Jamilah turut menimbulkan bahawa susu formula tidak terdapat dalam bekalan bantuan makanan oleh kerajaan.

Semporna Heroes kemudian meminta sumbangan untuk menyediakan susu formula, yang memberi manfaat kepada lebih 200 bayi dan anak kecil setakat 13 Oktober.

 “Susu adalah keperluan asas supaya anak kecil menjadi sihat, supaya mereka tak kena jangkitan” katanya yang merupakan anak jati Semporna yang juga pengerusi Persatuan Pelancongan Semporna.

“Baru-baru ini, ada bayi satu tahun dari Semporna meninggal dunia kerana Covid-19. Saya rasa itu membuka mata semua orang. Ia buat orang sedar kanak-kanak perlu makanan berkhasiat untuk lawan virus ini,” tambahnya.

Ketika Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan kluster Bangau-Bangau pada 22 September lalu, penduduk tempatan sudah mula bersiap-sedia untuk menghulurkan bantuan. Buat masa ini, Semporna Heroes bekerjasama dengan 14 NGO lain untuk membantu penduduk tempatan, kata Jamilah.

Dia menganggarkan terdapat kira-kira 37,000 penduduk yang kawasan PKPD di Semporna, sedangkan kerajaan hanya menyediakan kira-kira 15,000 pek makanan - satu untuk setiap keluarga.

“PKP ini dijangka berlanjutan untuk satu atau dua bulan, jadi kita boleh jangka lebih banyak bekalan (makanan) diperlukan.

“Bagaimanapun, bantuan makanan kerajaan ini sekali sahaja, jadi apa yang NGO boleh buat adalah membantu untuk pusingan kedua dan ketiga untuk pengagihan bantuan makanan”.

Sabah merupakan negeri yang mempunyai penduduk tanpa kerakyatan yang paling tinggi berbanding negeri-negeri lain.

Kata Jamilah, setiap orang wajar menerima bantuan dan layanan yang sama, tidak kiralah sama ada mereka itu warganegara, pendatang tanpa dokumen mahupun penduduk tanpa kerakyatan.

Pejabat Daerah: 85 peratus terima bantuan

Kerajaan negeri Sabah sebelum ini mengumumkan peruntukan RM2 juta kepada setiap daerah zon merah untuk pengagihan pek makanan, termasuk Semporna, seperti dilaporkan News Straits Times.

Pejabat Daerah Semporna ditugaskan untuk menguruskan pengagihan tersebut, yang dijalankan menerusi JKM, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Pertahanan Awam.

Ketika dihubungi Malaysiakini, pegawai daerah Semporna Benedict Asmat berkata tugas menghantar dan mengagihkan bantuan makanan adalah mencabar memandangkan sesetengah kawasan terletak di kawasan berisiko tinggi.

Meskipun mendakwa sukar memberikan angka pek makanan yang sudah diagihkan, katanya, setakat 13 Oktober, dia menganggarkan kira-kira 85 peratus penduduk di kawasan PKPD sudah menerima bantuan makanan.

Bagaimanapun, pemeriksaan di laman web rasmi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memberikan gambaran berbeza.

Berdasarkan data yang disiarkan, bilangan keseluruhan pek makanan yang diedarkan di daerah Semporna hanyalah 3,721 pek setakat 13 Oktober.

Jika dikira berdasarkan anggaran 15,000 pek makanan keseluruhan, ini bermakna kurang 25 peratus sahaja yang diagihkan sehingga hari keempat PKPD.

Bernama apula melaporkan bahawa kerajaan negeri Sabah setakat ini sudah mengagihkan 12,313 pek makanan untuk kumpulan sasaran di semua kawasan yang terlibat dengan PKPD, PKPD bersasar (PKPDB) dan PKP bersyarat (PKPB).

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Shahelmey Yahya berkata kerajaan pusat melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) telah menyerahkan lebih 6,300 pek makanan setakat ini dan jumlah itu akan ditambah mengikut kewajaran.

“Bakul makanan akan diagih kepada semua daerah, tapi kami beri keutamaan kepada keluarga yang di dalam kuarantin,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Shahelmey menambah, sebahagian Adun turut mengambil usaha sendiri dengan mengedarkan bantuan makanan di kawasan mereka.