Mayat bayi berlumur garam ditemui dalam guni, disyaki dibunuh bapa
Dibunuh, dilumur garam dan dibungkus dalam guni, itulah insiden menyayat hati yang menimpa seorang bayi lelaki berusia lapan bulan.
Lebih mengejutkan suspek bapa kandung disyaki membunuh bayi itu menggunakan objek tumpul dalam kejadian di Kampung Sungai Dua, Bachok, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan, Samsulmuddin Sulaiman berkata, pihaknya mengetahui kejadian apabila sepupu suspek berusia 50-an membuat aduan berhubung kematian bayi itu pada jam 11.30 pagi, hari ini.
Jelasnya, pengadu dihubungi suspek supaya melihat keadaan anak tunggalnya dan sebaik tiba di rumah suspek, pengadu mendapati anak suspek sudah meninggal dunia dalam keadaan mencurigakan.
"Selepas mendapat laporan, polis menyerbu rumah suspek yang berkunci dari dalam dan bertindak memecah masuk rumah berkenaan.
"Sebaik berjaya masuk ke dalam rumah, kami menahan seorang lelaki dipercayai suspek dan membawa keluar seorang wanita dipercayai ibu mangsa berusia 32 tahun dalam keadaan trauma dan menangis.
"Hasil pemeriksaan lanjut menemui bungkusan guni berisi bayi itu yang disorok di bawah meja di bahagian dapur," katanya ketika ditemui media di lokasi kejadian, hari ini.
Samsulmuddin berkata, hasil pemeriksaan ke atas Wan Mohamad Afiq Wan Rislan itu mendapati terdapat beberapa kesan lebam pada seluruh badan termasuk kesan lelasan di leher kiri dan kanan bayi berkenaan.
Katanya, pihaknya belum dapat memastikan sama ada kesan itu kesan cekik atau jerutan dan percaya mangsa meninggal dunia kurang tempoh 24 jam.
"Pemeriksaan awal pihak forensik tidak menemui kesan luka berdarah pada bayi berkenaan dan mendapati badan bayi itu turut dilumuri dengan garam kasar pada seluruh tubuh," katanya.
Beliau berkata, kematian bayi itu dipercayai akibat objek tumpul dan tiada senjata ditemui di lokasi kejadian.
Katanya, daripada siasatan awal yang dijalankan suspek didapati mengalami masalah mental sejak dua minggu kebelakangan ini.
"Hasil pemeriksaan awal juga mendapati terdapat kesan lebam dan calar di kedua-dua belah tangan ibu mangsa dan dihantar mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Bachok.
"Mayat bayi berkenaan dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu, untuk bedah siasat manakala kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai