Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kakitangan hospital KK kembali bertugas lepas 2 kali diuji negatif

Kakitangan Hospital Queen Elizabeth II yang menjadi kontak kepada mereka yang dijangkiti Covid-19 tidak perlu menjalani kuarantin jika tidak menunjukkan gejala dan keputusan ujian negatif.

Mengesahkan perkara ini, pengarah hospital Dr Razak Tambi berkata ia berdasarkan Annex 21 garis panduan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memastikan kelancaran operasi ketika wabak.

"Prosedur operasi standard (SOP) tersedia, jadi bila sesuatu berlaku kita guna pakai agar boleh berfungsi seperti biasa," katanya ketika dihubungi.

Garis panduan itu digunakan di hospital yang terletak di Kota Kinabalu itu semalam selepas dua jururawat Unit Rawatan Rapi (ICU) disahkan positif.

Berdasarkan garis panduan itu, kakitangan perlu menjalani ujian segera selepas diketahui menjadi kontak rapat dengan individu yang dijangkiti.

Jika didapati negatif sebanyak dua kali dalam tempoh 48 jam, kakitangan yang tidak bergejala akan terus bekerja dengan langkah pencegahan sewajarnya, seperti memakai peralatan perlindungan diri (PPE) yang lengkap dan mengehadkan kontak yang tidak perlu.

Di Sabah, kakitangan boleh menjalani ujian Rapid Test Kit (RTK), berbanding ujian polymerase chain reaction (PCR) yang lebih sensitif.

Bagaimanapun, kalangan yang menunjukkan gejala perlu mendapat keputusan PCR yang negatif dua kali sebelum kembali bertugas.

Mereka yang kembali bertugas juga perlu membataskan pergerakan dan hanya bergerak dari tempat tinggal dan tempat kerja, serta menghindari kantin atau bilik makanan kakitangan.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 40 daripada 66 jururawat Hospital Queen Elizabeth II sedang dalam kuarantin selepas menjadi kontak kepada seorang kakitangan yang positif.

Punca jangkitan dua jururawat masih dalam siasatan, tetapi ia dipercayai menerusi kontak komuniti dan bukannya daripada pesakit.

Hospital Queen Elizabeth II tidak dikhaskan untuk rawatan Covid-19 tetapi ia mengambil semua pesakit tidak berkaitan wabak itu daripada Hospital Queen Elizabeth.

'Setakat ini tiada masalah'

Malaysiakini difahamkan bilangan jururawat di ICU Hospital Queen Elizabeth II akan ditambah tetapi tidak jelas mereka sama ada dari hospital lain atau tidak.

Razak berkata, Jabatan Kesihatan Sabah menawarkan lebih banyak sumber tetapi setakat ini, hospital itu dapat menangani keadaan secara sendiri dengan menggunakan kakitangan daripada jabatan lain.

"Setakat ini kita gunakan unit yang tidak terkesan dulu. Kita akan buat rancangan esok, tengok dulu keadaan sebab sekarang kita tidak berdepan masalah.

"Kita kurangkan kapasiti ICU daripada lapan kepada enam katil, tetapi kita ada katil tambahan di Unit Rawatan Rapi Kritikal (CICU) dan Unit Rawatan Kritikal (CCU) yang kita boleh guna.

"Esok kita tengok kalau ada tambahan. Jabatan Kesihatan Sabah ada rancang nak hantar," katanya lagi.

Semalam, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berjanji untuk mendapatkan lebih banyak sumber bagi membantu Hospital Queen Elizabeth II manakala Noor Hisham berkata seramai 475 kakitangan KKM akan dihantar ke Sabah.

Semalam, 374 kes baru dilaporkan di Sabah dengan kebanyakannya di kawasan pantai timur - Sandakan, Tawau, Kunak, Semporna dan Lahad Datu.

Sabah kini mempunyai 10 zon merah, termasuk Kota Kinabalu dengan 442 kes aktif, menurut Jabatan Kesihatan Sabah.

[Baca berita asal]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.