Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Covid-19: Bank Islam cawangan Lahad Datu tutup sementara

Bank Islam Malaysia Bhd menutup sementara cawangan Lahad Datu di Sabah, termasuk terminal layan diri berkuat kuasa serta-merta sehingga diberitahu kelak.

Penutupan cawangan ini adalah sebahagian daripada langkah berjaga-jaga yang diambil setelah seorang kakitangan didapati positif Covid-19.

Kakitangan tersebut kini sedang menjalani rawatan di hospital kerajaan, menurut bank itu dalam kenyataan hari ini.

Kakitangan terbabit dan anggota keluarga terdekatnya telah menjalani tempoh kuarantin rumah sejak 28 September 2020 setelah melakukan perjalanan ke Tawau baru-baru ini.

“Bank Islam sedang menjalankan proses sanitasi dan pembersihan di cawangan berkenaan secara menyeluruh, termasuk ruang-ruang kemudahan umum.

“Bank juga telah melakukan langkah penjejakan kontak rapat untuk mengenal pasti dan memaklumkan kepada individu yang mempunyai hubungan langsung dengan kakitangan terbabit serta menasihati mereka supaya menjalani saringan kesihatan dan kuarantin di rumah,” katanya.

Katanya langkah itu diambil sesuai dengan garis panduan keselamatan dan kesihatan Bank Islam mengenai Covid-19.

Sementara itu, Bank Islam menggalakkan pelanggan untuk menggunakan platform perkhidmatan perbankan digital, termasuk aplikasi mudah alih GO by Bank Islam atau Perbankan Internet Bank Islam, https://www.bankislam.biz

Mengambil maklum akan situasi semasa di Sabah, bank juga akan mengecualikan caj pengeluaran tunai di mesin MEPS supaya pelanggan bebas melakukan pengeluaran di mana-mana mesin ATM yang berdekatan dengan mereka sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Bersasar (TEMCO) ini.

“Pelanggan juga dinasihatkan agar merujuk platform media sosial kami untuk sebarang perkembangan terkini,” katanya.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.