ULASAN | Muda sepatutnya jadi lebih 'muda'
MUDA yang seharusnya lebih ‘muda’
Beberapa hari lalu kita menyaksikan #PauseMalaysia sohor kini. Ia adalah kesan gerakan diketuai Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).
Tujuannya ialah untuk cuba menghentikan permainan politik ketika Malaysia berhadapan dengan gelombang ketiga Covid-19.
Tiga tawaran diberi oleh #PauseMalaysia. Pertama, tempoh berdamai daripada perebutan kuasa; kedua, tiada pilihan raya selagi Covid-19 masih ada; dan ketiga, semua parti politik duduk semeja menyelesaikan isu rakyat.
Jika semangat dalam cadangan itu dilakukan enam dekad yang lalu oleh ahli politik, mungkin politik Malaysia sekarang sudah menjadi lebih matang.
Tetapi, apa yang diajar kepada rakyat Malaysia selama ini tentang politik bukanlah satu perkara yang 'skema' seperti #PauseMalaysia.
Sering kali ahli politik beretorik untuk mengutamakan kepentingan rakyat dalam setiap ucapan, tetapi apabila sudah dapat kuasa, lainlah pula jadinya.
Bagi orang politik, percaturan politik lebih membawa kesan yang besar kepada mereka walaupun sesaat atau seminit. Lihat saja bagaimana percaturan politik ‘Abah’ semasa Langkah Sheraton.
Lima kerajaan negeri yang dipilih rakyat secara demokratik tumbang satu demi satu.
Kenapa usaha menyelesaikan masalah ekonomi jadi kepentingan kedua kebanyakan menteri dan kerajaan?
Krisis ekonomi selalunya mengambil masa yang agak panjang untuk pulih. Contohnya, krisis kewangan Asia pada 1997, di Malaysia ia hanya pulih sepenuhnya pada 2004 iaitu ketika Pak Lah menjadi perdana menteri.
Itu pun kita masih merasa kesan krisis itu pada ekonomi negara seperti berdepan kadar pengangguran yang tinggi dan gaji yang rendah.
Itulah formula orang ‘lama’ dalam politik Malaysia. Pengaruhnya masih kuat, sama ada di peringkat atas mahupun lapangan. Formula ini masih belum digarap dan dimatikan sehingga hari ini, termasuk kumpulan Muda dan Syed Saddiq.
Sebab itu juga, kerajaan ‘Abah’ terpaksa bermain politik untuk mendapat sokongan politik. Kerajaan tanpa mandat tidak boleh membawa ekonomi negara ke tahap yang baik.
Dengan perkataan lain, ia tiada hala tuju.
Sebenarnya, Muda menunjukkan kebolehan yang agak ‘luar biasa’ apabila berjaya mengutip dana bagi membantu siswa dalam kesusahan akibat keputusan lewat Kementerian Pengajian Tinggi.
Siapa sangka, Muda lebih ke hadapan daripada sayap muda parti politik lain semasa menghulurkan bantuan buat mahasiswa dan ibu bapa yang kesusahan.
Ebit Lew pun 'kalah.'
Tetapi, saya cuba memahami, selepas kejayaan yang ditonjolkan semasa membantu mahasiswa, kenapa tiba-tiba Muda berkempen #PauseMalaysia? Ini satu langkah amat merugikan.
Akhirnya ada juga pengkhianat dalam Perikatan Nasional cuba menyendeng di bahu Syed Saddiq dengan bersetuju terhadap cadangan #PauseMalaysia.
Di pihak pembangkang pula mereka ‘merotan’ Muda habis-habisan kerana dianggap gerakan itu gagal membaca sentimen rakyat.
Muda kini tersepit di tengah-tengah keadaan dan dikritik dari kiri dan kanan.
Kelihatan politik Muda dalam isu #PauseMalaysia diceduk daripada semangat ‘tua’ yang cepat emosi dan melatah. Mungkin, Muda dan Syed Saddiq boleh cuba mengkaji semula mengapa hal itu berlaku.
Berkata tentang betapa pentingnya semangat muda berpolitik, kita melihat bagaimana pemimpin dahulu terus bersemangat muda dalam percaturan politik sehingga hari ini.
Lihat sahaja bagaimana ahli Team Wawasan dalam Umno pada 1993 - Anwar Ibrahim, Najib Razak dan Muhyiddin Yassin yang berusia lanjut masih lincah mencatur gerak.
Ini termasuk ‘master’ mereka bertiga, Dr Mahathir Mohamad, yang pernah menjadi mentor Syed Saddiq.
Apa yang jelas, Anwar, Najib, Muhyiddin dan Mahathir terus bertembung sesama sendiri untuk menjadi pemimpin nombor satu. Ini tidak termasuk semangat muda Lim Kit Siang, Musa Aman, Jeffery Kitingan, Shafie Apdal, Abdul Hadi Awang, Tengku Razaleigh Hamzah dan Mohamad Sabu yang terus konsisten dalam perjuangan politik.
Muda seharusnya perlu lebih muda menyusun strategi dan naratif politik yang bukan sahaja menguntungkan rakyat tetapi perebutan kuasa politik mereka sendiri.
Syed Saddiq dan Muda mempunyai perjalanan lebih panjang dan mencabar. Dalam perjalanan ini, emosi atau marah dalam membuat tindak balas politik amat merugikan kerana tenaga politik itu sepatutnya disalurkan ke arah perubahan yang lebih besar, bukan cuba untuk mengejar populis dalam ruang politik negara.
Ini tidak bermaksud budaya politik lama perlu didukung sampai bila-bila. Lemahnya politik parti di Malaysia ini memang diakui sehinggakan mereka tidak dapat menandingi kepantasan Muda bertindak dalam sesuatu isu.
Ada ahli politik duduk di kerusi kerajaan yang mempunyai kuasa dan dana bagi melakukan perubahan.
Selagi kening Syed Saddiq masih tebal menawan dan belum putih, selagi itulah Muda perlu terus bergerak dan berjuang dalam arena politik Malaysia.
Jangan malu-malu dalam politik kerana perangai malu dan ambil jalan selamat inilah yang selalunya menghalang sesebuah parti menjadi kerajaan.
Jadilah Muda yang berjiwa besar dan memberi kesan kepada rakyat seluruhnya.
Ingat apa yang dikatakan Soekarno: Gantungkanlah cita-citamu setinggi langit, bermimpilah setinggi langit. Jika engkau jatuh, engkau akan jatuh di antara bintang-bintang.”
Apa salahnya jika suatu hari nanti ahli Muda dapat menjadi perdana menteri, menteri besar mahupun ahli kabinet? Bukankah ini lebih afdal dalam niat membantu rakyat?
Tetapi, jangan lama bermimpi sehingga lupa buat percaturan merealisaiskan tujuan politik dan idea baru. Biar politikus tua tunduk dan hormat kepada Muda kerana naratif baru yang mampu mematikan langkah politik lama.
Persoalannya, apakah naratif baru politik Muda dan Syed Saddiq?
FAKHRURRAZI RASHID ialah pembaca Malaysiakini.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi portal berita ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai