Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Umno Sabah belum fikir PRK Batu Sapi, fokus Covid-19

Umno Sabah belum memikirkan sama ada untuk meletakkan calon ataupun memberi laluan mudah kepada Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi yang bakal diadakan nanti.

Sebaliknya kata Ketua Umno Sabah itu, Bung Moktar Radin pihaknya kini memberi fokus kepada usaha mengekang penularan Covid-19 di negeri itu.

"Masih terlalu awal untuk dikomen, fokus kami membantu menangani jangkitan Covid-19," katanya kepada Malaysiakini.

Semalam, veteran DAP Lim Kit Siang menyokong cadangan supaya Perikatan Nasional (PN) dan BN memberi laluan kepada Warisan untuk mempertahankan kerusi berkenaan.

Ia susulan penularan wabak Covid-19 yang meningkat secara mendadak selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Turut menyokong cadangan itu ialah Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki.

“Cadangan yang sama juga disyorkan kepada semua parti-parti politik lain termasuk parti PN bagi mengekalkan status quo kedudukan parlimen Batu Sapi di bawah parti Warisan, menjelang PRK yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari mengikut Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan.

"Fokus ketika ini harus diberikan untuk membendung wabak virus Covid-19 daripada terus menular, di samping membantu rakyat menangani keperitan hidup yang terkesan dengan kegawatan ekonomi akibat pandemik yang tiada berkesudahan,” katanya semalam.

PRK itu dijangka diadakan susulan kematian penyandangnya, pemimpin Warisan dan bekas menteri undang-undang Liew Vui Keong.

Sementara itu Ahli Majlis Tertinggi Umno Tajuddin Abdul Rahman berkata tiada jalan mudah buat Warisan di parlimen Batu Sapi.

Bagaimanapun katanya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menangguhkan dulu PRK itu bagi memastikan penularan Covid-19 dapat dikawal.

"Meskipun rakyat kata mahu bagi laluan percuma, mesti juga kena melalui proses pemilihan. Mana boleh main tunjuk-tunjuk saja.

“Kena pilih wakil rakyat yang baharu, mengikut kehendak pengundi. Bukan berpandukan kepada kehendak sesetengah pihak sahaja," katanya.

Bagaimanapun katanya, disebabkan sekarang negara dalam keadaan luar biasa akibat wabak itu dan pastinya akan ada risiko yang besar jika adakan pilihan raya buat masa ini.

“Saya harap kerajaan dan SPR akan memikirkan sebaiknya tentang ini. Kalau bagi saya, elok ditangguhkan dahulu pilihan raya,” tambahnya.