Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

MB: Saringan Covid-19 bersasar di Klang

Kerajaan negeri Selangor akan terus menjalankan ujian saringan bersasar Covid-19 di kawasan merah sebagai langkah lanjutan bagi mengawal penularan wabak itu, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata kerajaan negeri juga telah menyampaikan segala maklum balas dan cadangan berkaitan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan beberapa ubah suai kepada sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersama Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin secara maya pada 11 pagi tadi.

“Untuk penyelarasan dan keseragaman informasi, Majlis Keselamatan Negara di bawah kerajaan Persekutuan akan mengumumkan perincian pelaksanaan PKPB Klang dan kerajaan negeri akan bekerjasama sebaik mungkin dengan semua agensi bagi memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara,” katanya dalam kenyataan di Shah Alam, hari ini.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa kerajaan mengenakan PKPB di zon merah iaitu Sandakan, Papar, Tuaran di Sabah dan Klang di Selangor, bermula 9 Okt ini susulan peningkatan kes Covid-19 di kawasan terbabit.

Menurut Ismail, pelaksanaan PKPB diambil bagi membendung jangkitan dan penularan Covid-19 dalam daerah tersebut, serta membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.