Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

KM Sabah kuarantin kendiri lepas terdedah kepada pesakit Covid-19

Ketua Menteri Sabah, Hajiji Mohd Noor memulakan kuarantin kendiri selama dua minggu bermula hari ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Safar Untong dalam satu kenyataan berkata langkah itu diambil Hajiji secara sukarela setelah dia didakawa terdedah kepada individu positif Covid-19.

"Untuk makluman, sebagai langkah berjaga-jaga, ketua menteri telah secara sukarela mengambil keputusan menjalani kuarantin kendiri selama dua minggu bermula hari ini.

"Ia susulan beliau terdedah dengan individu yang kemudian disahkan positif Covid-19," katanya dalam kenyataan itu.

Mengulas lanjut, Safar turut memaklumkan kerajaan negeri berfungsi seperti biasa dan sebarang mesyuarat akan dilakukan melalui sidang video.

Sebelum ini, Ahli Majlis Tertinggi Umno Razlan Rafii dan ketua penerangan parti itu Shahril Hamdan antara yang dilaporkan dijangkiti virus itu.

Malah, sekurang-kurangnya seorang menteri, seorang timbalan menteri, dan lima Adun lain turut dilaporkan dijangkiti Covid-19 setelah pulang berkempen untuk PRN Sabah yang tamat pada 26 Sept.

Sehingga tengah hari semalam, kes Covid-19 aktif di Sandakan berjumlah 68, diikuti oleh Papar (46) dan Tuaran (28).