Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

PRK Batu Sapi harus diteruskan, SPR bermesyuarat minggu depan

Susulan kematian ahli parlimen Batu Sapi Liew Vui Keong pada 2 Oktober, ada pihak yang mencadangkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar tidak mengadakan pilihan raya kecil dalam waktu dekat memandangkan penularan wabak Covid-19 yang semakin buruk.

Namun, menurut pemimpin kanan SPR, menangguhkan pilihan raya melebihi 60 hari seperti yang diwajibkan oleh perlembagaan persekutuan tidak mungkin boleh dilakukan.

"Kita harus teruskannya," kata Pengerusi SPR, Abdul Ghani Salleh ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

"Kita masih harus mengadakan pilihan raya walaupun semasa wabak," katanya.

Menurut Ghani, SPR secara rasmi telah menerima notis mengenai kekosongan kerusi parlimen Batu Sapi semalam, dan suruhanjaya itu akan bermesyuarat minggu depan untuk membincangkan mengenai pilihan raya tersebut.

Timbalannya, Azmi Sharom juga memberikan jawapan serupa ketika dihubungi. Katanya, mereka tidak mempunyai pilihan lain.

"Kami tidak ada pilihan," katanya dalam satu mesej teks ringkas.

"Jadi satu-satunya cara adalah dengan memastikan prosedur operasi standard yang lebih ketat."

Sebagai rekod, mengikut Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh sesuatu kerusi itu dikosongkan.

Kenyataan SPR mengenai perkara itu disokong oleh pakar perlembagaan, Shad Saleem Faruqi, yang merupakan profesor undang-undang di Universiti Malaya.

Menurutnya, satu-satunya keadaan apabila pilihan raya dapat ditunda melebihi tempoh 60 hari adalah semasa keadaan darurat.

"Hanya (ketika) pengisytiharan darurat dibuat berdasarkan Artikel 150 Perlembagaan Persekutuan," katanya, ketika ditanya apakah terdapat keadaan yang memungkinkan penundaan pilihan raya.

Liew, yang adalah bekas menteri undang-undang meninggal dunia di sebuah hospital di Kota Kinabalu pada 2 Oktober lalu setelah terkena jangkitan paru-paru. Mendiang berusia 60 tahun.

Berdasarkan perhitungan Malaysiakini, SPR harus mengadakan pilihan raya untuk memilih ahli parlimen baru untuk kerusi pilihan raya itu selewat-lewatnya pada 1 Disember.

Setelah kematian Liew, beberapa pihak menimbulkan kegusaran mengenai lonjakan jumlah kes penularan Covid-19 di negara, baru-baru ini. Menurut mereka, jika pilihan raya kecil diadakan, ini mungkin akan memperburukkan lagi keadaan semasa.

Kebimbangan itu bukan tanpa asas. Ia berlaku semasa pilihan raya negeri Sabah yang baru saja berakhir yang menyaksikan jangkitan koronavirus menyebar dengan cepat, dan menyebabkan peningkatan kes di negeri lain.

Semua kes dikatakan ada kaitan dengan individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sepanjang tempoh pilihan raya.

[Baca berita penuh]