Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

ULASAN | Politik sawit melawan Amerika

Di tengah-tengah kebimbangan serangan gelombang kedua Covid-19 terutamanya selepas PRN di Sabah, pada 30 September lepas, Amerika Syarikat (AS) dilapor mengharamkan import minyak sawit keluaran FGV Holdings Berhad (FGV) akibat dakwaan buruh paksa.

Agensi Pelindungan Kastam dan Sempadan AS (CBP) dalam satu kenyataan berkata pengharaman itu berdasarkan hasil siasatan selama setahun yang mendakwa syarikat tersebut mengambil tenaga buruh paksa seperti penyeksaan terhadap golongan ditindas, keganasan fizikal dan seksual, melakukan ancaman dan penyimpanan pengenalan diri.

Umum mengetahui minyak sawit adalah antara bahan utama dalam produk makanan yang diproses serta produk kosmetik dan Malaysia adalah negara pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia, selepas Indonesia. Kedua-dua negara menyumbang kepada 85 peratus bekalan minyak sawit dunia.

Bagaimanapun, aktivis mendakwa industri itu menyebabkan pembersihan hutan untuk membuka tanah pertanian dan penindasan tenaga buruh.

Dalam laman sesawang yang dilawati CBP mendakwa siasatan yang dijalankan mendapati bahawa buruh paksa kanak-kanak juga digunakan dalam proses pengeluaran minyak sawit di syarikat tersebut. CBP dalam kenyataan tersebut menegaskan pengharaman itu berkuat kuasa serta-merta.

Susulan itu, CBP mengeluarkan Arahan Tahanan Pelepasan (WRO) terhadap kemasukan dan penggunaan minyak sawit yang dihasilkan FGV di negara itu.


FGV nafi guna buruh paksa


Pengharaman oleh CBP itu menyusul selepas sekumpulan hak asasi meminta pihak berkuasa AS untuk melakukan siasatan terhadap FGV ekoran kebimbangan penggunaan buruh paksa dan pemerdagangan manusia dalam syarikat itu.

Berita terbaru pengharaman AS itu akan menambah perit lagi kedudukan ekonomi negara ketika berhadapan dengan isu Covid-19. Sebelum ini pada Julai lepas dua anak syarikat pengeluar sarung tangan terbesar dunia, Top Glove Corporation Bhd (Top Glove) berdepan larangan eksport produknya ke AS kerana dikatakan menggunakan khidmat buruh paksa.


Top Glove: Arahan sekatan kastam AS berdasarkan 'dakwaan lama'


CBP dalam laman web rasminya meletakkan dua anak syarikat Top Glove iaitu Top Glove Sdn Bhd dan TG Medical Sdn Bhd dalam senarai perintah penahanan berkenaan.

Tiada penjelasan terperinci

Bagaimanapun, laman web CBP hanya menyenaraikan Top Glove Sdn Bhd dan TG Medical Sdn Bhd tanpa menjelaskan secara terperinci bentuk tindakan yang diambil.

Pada April lepas, sebuah pertubuhan berpusat di Hong Kong. Liberty Share telah memfailkan petisyen kepada CBP meminta supaya AS mengharamkan import produk minyak sawit dari Sime Darby Plantation (SDP), mendakwa SDP juga menggunakan buruh paksa dalam penghasilan produk minyak sawit.

Melalui pembacaan di laman sesawang CBP yang menyediakan maklumat berhubung dengan proses pengharaman tersebut timbul persoalan contohnya dapatkah syarikat tertuduh seperti FGV menerima butiran petisyen dan sejauh manakajh ketelusan keseluruhan kandungan petisyen tersebut.

Saya juga merujuk kepada laman sesawang Freedom United kumpulan NGO yang dikatakan melatari petisyen kepada CBP, tetapi tiada butiran lanjut sekadar kesimpulan petisyen sebagaimana dalam laman sesawang CBP.

CBP mengatakan keputusan dibuat adalah hasil penyiasatan yang dijalankan selama setahun tetapi tiada butiran lanjut yang diberikan supaya segala dakwaan itu dapat diteliti. Apakah Prosedur Operasi Piawaiananya (SOP) yang digunakan selama setahun itu? Apakah nama NGO di Malaysia yang berkerja sama dengan Freedom United? Mungkin nama NGO akan dirahsiakan tetapi untuk ketelusan kes NGO tersebut harus berani tampil ke hadapan untuk membuat pembuktiannya.

Bahkan tuduhan-tuduhan bahawa industri minyak sawit dikaitkan dengan buruh paksa bukanlah isu baharu, SDP pernah didakwa seperti laporan di atas, syarikat Top Glove dikaitkan dengan buruh paksa. Apa yang menjadi keprihatinannya ialah dakwaan-dakwaan ke atas syarikat Malaysia ini mendapat perhatian Washington dan dilaporkan dalam laporan tahun agensi kerajaan AS.

Sebagai contoh, dua laporan daripada Jabatan Negara AS iaitu mengenai Amalan Hak Asasi dan Pemerdagangan Manusia telah melahirkan keprihatinan mengenai buruh paksa di negara ini.

Namun laporan demi laporan disiarkan setiap tahun, amat dibimbangi ia menjadi sebagai suatu yang benar dan dipercayai.

Politik perlahankan ekonomi

Malah FGV Holdings Berhad (FGV) kecewa dengan tindakan AS melarang import minyak sawit dari syarikat itu bermula 30 September berikutan siasatan terhadap tuduhan bahawa ia menggunakan buruh paksa.

Dalam satu kenyataan, FGV menegaskan semua isu yang dibangkitkan telah menjadi bahan perdebatan umum sejak 2015 dan syarikat telah mengambil beberapa langkah untuk memperbaiki keadaan.

Malah, dalam kenyataan pada 26 September lalu, pelbagai tindakan telah dilakukan FGV untuk menghormati komitmen berkenaan.

Kenyataan CBP yang mengharamkan import hasil minyak menunjukkan dengan jelas bahawa suatu tanggapan telah dirumuskan di AS bahawa Malaysia tidak serius dalam membanteras buruh paksa. Imej negatif yang disimpulkan dalam laporan-laporan hak asasi itu akan kekal dipercayai dalam kalangan pembuat dasar di AS.

Sehubungan itu menurut Firma penyelidikan perniagaan Fitch Solution, kebuntuan politik Malaysia dijangka memperlahankan pertumbuhan ekonomi untuk dekad akan datang,

Ditambah pula dengan keadaan pertambahan dalam populasi dan pengurangan ruang fiskal untuk mengurangkan impak kejutan ekonomi negatif di masa depan, Fitch meramalkan pertumbuhan KDNK sebenar untuk 10 tahun seterusnya pada kadar 3.4 peratus, berbanding 6.4 peratus sepanjang dekad lalu.

Dalam laporan yang diedarkan, Fitch berkata antara isu politik yang akan memberi kesan terhadap ekonomi negara adalah perubahan kuasa dengan Malaysia keluar dari era pemerintahan satu parti.

Cabar sumber CBP

Memandangkan kepentingan industri kelapa sawit kepada negara terutamanya ekonomi ketika berhadapan dengan Covid-19, Malaysia harus proaktif dalam menangani dakwaan-dakwaan ini. Ini bukan isu politik sawit negara bukannya politik jawatan.

Menteri-menteri PN dan pembangkang sudah cukup berpolitik di politik dan harus menumpukan kepada isu negara seperti ancaman terhadap eksport kelapa sawit.

Dalam hubungan ini, langkah-langkah yang diambil kerajaan Malaysia, pertama harus mencabar sumber CBP itu dan segala dakwaan fakta dan data tersebut. Daptkah Kerajaan Malaysia harus menyangkal dakwaan mengatakan buruh paksa di negara ini sebagai budaya dan berakar daripada sistem buruh asing?

Kedua, tumpuan harus diberikan PN untuk bergerak balas kepada usaha menjalankan kempen menentang anti-miyak sawit yang didakyahkan oleh NGO Barat. Rakyat dan NGO Malaysia harus menentang segala dakyah tersebut.

Ketiga, Kerajaan Malaysia harus mengadakan pertemuan dengan negara pengimport bagi meneruskan pembelian atau pengimportan minyak sawit.

Segala maklumat berhubungan dengan dakwaan buruh paksa dan buruh kanak-kanak harus diteliti dan diberikan pembuktian untuk membawa kes penafian kepada kerajaan AS.

Namun apabila kuasa sering bertukar tangan maka ia akan mengemukakan kesan kepada kesinambungan dasar yang boleh dipersoalkan dan memontum pembaharuan akan terjejas. Peralihan kuasa Februari lalu adalah bukti bahawa pergolakan boleh berlaku.

Oleh itu peralihan ke arah sistem dua parti atau pelbagai parti dengan strategi gabungan parti akan membawa bersama demokrasi yang lebih matang. Dalam hal ini ia pasti akan tetap menguntungkan Malaysia tetapi ketidaktentuan sementara mungkin menjadi faktor negatif yang akan diambil kira pelabur berpotensi.

Ahli politik dan menteri-menteri politik yang bersilat politik dengan penuh kesenian dalam berhadapan dengan musuh politik mereka haruslah menggunakan seni politik ini dalam menentang musuh politik AS yang cuba menggugat industri sawit Malaysia.

Sekarang mereka harus menggunakan kemahiran politik dalam merangka strategi politik sawit negara supaya Malaysia dapat memberikan fokus kepada usaha mencari penyelesaian kepada kemelut isu pengharaman eksport minyak sawit ke AS dan juga kebimbangan ancaman eksport sawit ke Kesatuan Eropah (EU).


ISMAIL HASHIM YAHAYA adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel)

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.