Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

MP PKR gesa k'jaan banyakkan pembekal benih padi tangani isu 'kartel'

Ahli Parlimen Kangar Amin Ahmad meminta kerajaan untuk memperbanyakkan pembekal benih padi baru dalam menangani masalah kelewatan biji benih padi dan eksploitasi harga yang dihadapi pesawah sejak beberapa musim lalu.

Menurutnya, buat masa ini pembekalan benih padi kepada pesawah dikawal oleh pemain-pemain tertentu sahaja.

"Isu kelewatan benih padi dan membekalkan benih kualiti rendah bukan masalah baru. Industri ini dikawal oleh kartel. Bukan kartel politik tapi kartel benih padi.

"Mereka mengawal pembekalan benih padi mengakibatkan pesawah menghadapi situasi kelewatan menerima biji benih. Selain, kadangkala biji benih dibekalkan juga tidak berkualiti.

"Maka, saya menggesa kerajaan pusat untuk memperbanyakkan pesaing dalam industri pembekalan benih padi ini," katanya kepada Malaysiakini.

Amin (gambar, atas) berkata demikian ketika diminta mengulas masalah pesawah di Perlis dan Kedah menghadapi kelewatan menerima benih dan eksploitasi harga.

Terdahulu, pada 2 Okt, Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah)  menyerahkan memorandum kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan di Putrajaya susulan masalah kelewatan dan kenaikan harga benih padi.

Exco NGO terbabit, Abdul Rashid Yob, 41, berkata, jadual menanam padi telah bermula di Perlis dan Kedah sejak 9 September lalu untuk petani di kawasan fasa 1 namun majoriti tidak dapat memulakan tanaman kerana bekalan benih masih tiada di pasaran.

Tambahnya, petani juga mengalami masalah kenaikan harga benih yang melampau di sebahagian tempat.

"Selain saya sendiri, beberapa ahli parlimen PH pernah membangkitkan isu ini di parlimen.

"Malah, kami pernah membuat beberapa cadangan kepada bekas menteri pertanian Salahuddin Ayub untuk mengatasi masalah ini.

"Namun, ia tidak dapat dilaksanakan selepas pertukaran kerajaan," katanya.

"Dengan adanya banyak pesaing, maka para pesawah mempunyai pilihan untuk membeli biji benih padi yang berkualiti dan mencukupi dengan harga berpatutan," tambahnya.