Nor Aqilah keluar wad, polis akan rakam keterangan
Setelah hampir tiga minggu menerima rawatan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan Zainal Abidin, Kuala Lumpur, satu-satunya mangsa terselamat akibat keracunan karbon monoksida ketika empat sahabat tertidur di dalam sebuah kereta, 16 Sept lepas, telah dibenarkan keluar hospital hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Shafee Abd Samad berkata, Nor Aqilah Mohd Safwan, 21, dibenarkan keluar dari wad kira-kira pukul 6 petang hari ini selepas selesai menjalani pemeriksaan mata.
“Hari ini Nor Aqilah ke klinik mata dan pemeriksaan doktor mendapati matanya sudah baik, tapi dia perlu menyambung ubat serta akan ada rawatan susulan dengan doktor selepas ini.
“Buat masa ini dia tidak memerlukan rawatan fisioterapi kerana keadaannya sudah baik, malah boleh berjalan macam biasa dan doktor memaklumkan Nor Aqilah dibenarkan keluar dari wad petang ini,” katanya ketika dihubungi di Bukit Mertajam, hari ini.
Katanya selepas ini, polis akan merekodkan keterangan Nor Aqilah bagi melengkapkan kertas siasatan kejadian tersebut, yang disiasat sebagai kes kematian mengejut.
Dalam kejadian itu, Sharifah Fariesha Syed Fathi, Ayuni Shazwanie Shabri dan Nor Adilah Mohd Safwan meninggal dunia, manakala Nor Aqilah kritikal, selepas keempat-empat sahabat berusia 21 tahun itu, ditemui tidak sedarkan diri di kawasan tempat letak kereta stesen minyak Sama Gagah, dipercayai akibat keracunan karbon monoksida apabila tertidur semasa berehat di dalam kereta itu, dengan cermin tingkap tertutup.
Nor Adilah yang merupakan kembar kepada Nor Aqilah pada awalnya terselamat, namun meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Angkatan Tentera Lumut, Perak, pada 4.23 petang, 17 Sept.
Semua pelajar di sebuah kolej perubatan swasta di Batu Caves itu, dikatakan singgah berehat di stesen minyak berkenaan kira-kira 8.30 malam selepas Nor Aqilah yang memandu kereta jenis Honda Odyssey tersebut memaklumkan dia pening dan muntah.
Mereka ketika itu dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Sungai Petani dan Gurun, Kedah selepas bercuti di Pulau Jerejak, Pulau Pinang sempena cuti Hari Malaysia.
Empat sahabat berkenaan ditemui tidak sedarkan diri dalam kereta itu, dalam keadaan enjin masih terpasang oleh bapa Ayuni Shazwani kira-kira pukul 12.30 tengah malam, Khamis.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai