Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Macau Scam: Guru rugi RM1.13 juta, peniaga perabot ditipu RM93,000

Seorang guru wanita mendakwa kerugian kira-kira RM1.13 juta termasuk yang diperoleh daripada pinjaman peribadi selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam dalam kejadian di Kuala Lumpur minggu lepas.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata mangsa yang berusia 49 tahun mendakwa menerima panggilan daripada individu yang menyamar sebagai pegawai polis.

Katanya, sindiket berkenaan memaklumkan kenderaan wanita tersebut terlibat dalam kemalangan maut dan dia terlibat dalam pengubahan wang haram.

"Mangsa diarahkan membuka dua akaun bank dan menjadikan nombor telefon yang diberi oleh suspek sebagai nombor telefon pemilik akaun.

"Selepas akaun simpanan dibuka, mangsa telah memindahkan wang simpanan miliknya ke dalam akaun tersebut seperti yang diarahkan suspek kononnya bagi tujuan siasatan," katanya lapor Bernama.

Mohd Zaid berkata mangsa turut membuat pinjaman peribadi di beberapa bank selepas sindiket itu mengarahkan mangsa menyediakan wang jaminan dan kemudiannya menyerahkan wang simpanan serta pinjaman peribadi dengan jumlah keseluruhan RM1,132,475 kepada sindiket.

Mohd Zaid berkata mangsa menyedari dirinya tertipu selepas mendapati wang dalam akaun yang baru dibukanya telah tiada dan membuat laporan polis semalam. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sementara itu dalam kes berasingan, Bernama melaporkan seorang peniaga perabot di Rompin kerugian lebih RM93,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam dalam kejadian yang bermula sejak pertengahan bulan lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata wanita berusia 40 tahun itu mendakwa dirinya dikatakan terlibat  pengubahan wang haram selepas menerima panggilan daripada seorang individu yang mengaku kakitangan pejabat pos pada 21 Sept lalu.

“Suspek memberitahu identiti mangsa mungkin disalah guna oleh pihak lain dan menyambungkan panggilan itu kepada seorang lelaki yang mengaku anggota polis.

“Suspek kedua kemudian memberitahu mangsa kononnya nama mangsa ada dalam siasatan kes pengubahan wang haram selain ada waran tangkap. Mangsa kemudian diminta berhubung dengan seorang lagi individu yang mengaku pegawai polis.

“Suspek yang mengaku sebagai Inspektor Baharun meminta mangsa mengeluarkan wang dan memasukkan dalam satu akaun yang diberikan suspek kerana akaun mangsa akan dibekukan untuk siasatan," katanya kepada pemberita di Kuantan hari ini.

Mohd Wazir berkata suspek turut meminta pengadu merahsiakan perkara tersebut hingga keputusan daripada pihak audit sama ada wangnya terlibat dalam pengubahan wang haram atau tidak diperoleh.

Beliau berkata pada 28 Sept, mangsa dihubungi seorang lelaki kononnya daripada bahagian audit yang meminta RM20,000 sebagai jaminan ke atas akaun bank sebelum menyedari wang dalam akaunnya cuma berbaki RM80.63.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin semalam dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.