'Jangan takut' Covid-19, kata Trump selepas pulang ke Rumah Putih
GLOBAL l Presiden Donald Trump memberitahu orang Amerika supaya "keluar dari rumah" dan jangan takut akan Covid-19 selepas dia pulang semula ke Rumah Putih pada hari Isnin setelah bermalam di hospital selama tiga hari untuk rawatan virus itu.
Sejurus itu, Trump menanggalkan pelitup mukanya untuk bergambar.
Ditanya bagaimana perasaannya ketika pulang semula ke Rumah Putih, yang menyaksikan beberapa kakitangannya terkena jangkitan dan kempen pilihan rayanya tergendala akibat diserang wabak itu, Trump berkata: "Bagus," .
Trump memakai pelitup muka semasa dia meninggalkan helikopter yang menerbangkannya dari hospital tentera di pinggir Washington dan menaiki tangga di Portico selatan di Rumah Putih. Dia kemudian menanggalkan pelitup itu dan merakamkan gambar sambil melambai, memberi tabik dan isyarat jari menunjukkan tanda “bagus”.
Rakaman TV menunjukkan dia kemudian masuk ke Rumah Putih dengan pelitup mukanya masih berada di dalam poketnya.
Setakat ini wabak itu telah membunuh lebih dari satu juta orang di seluruh dunia dan lebih daripada 209,000 di Amerika Syarikat sahaja - jumlah kematian tertinggi berbanding negara-negara lain.
Presiden Republikan, yang mencalonkan diri untuk dipilih semula melawan calon Demokrat Joe Biden pada pilihan raya Amerika Syarikat pada 3 November nanti - dimasukkan ke Pusat Perubatan Walter Reed pada Jumaat lalu setelah disahkan positif dengan koronavirus.
"Jangan biarkan ia menguasai anda. Jangan takut," kata Trump dalam pesanan video yang dirakam.
"Kita akan kembali, kita akan kembali bekerja. Kita akan ke depan. ... Jangan biarkan ia menguasai hidupmu. Keluar dari rumah, tapi berhati-hatilah."
Tidak lama selepas kepulangannya, sebuah video dengan muzik orkestra yang gemuruh dimuatnaikkan di pemegang Twitter miliknya yang memaparkan dia tiba di White House dan membalas tabikan di Portico Selatan selepas Marine One terbang. Video itu ditonton hampir sejuta kali.
Trump berkali-kali menolak garis panduan penjarakkan fizikal yang bertujuan untuk mengekang penyebaran virus. Dia juga mengejek Biden pada debat presiden Selasa lalu kerana memakai pelitup muka, meskipun dia berjauhan dari orang ramai.
- Reuters
Sementara itu, Bernama memetik NBC News yang melaporkan Trump berkata rakyat Amerika tidak perlu takut kerana Amerika Syarikat mempunyai peralatan perubatan dan ubat-ubatan terbaik di dunia.
Katanya, vaksin untuk memerangi penyakit itu akan ada tidak lama lagi.
"Kami akan kembali bekerja," kata Trump dan berikrar untuk "menewaskan" Covid-19.
Trump berkata beliau "mesti ke depan" sebagai pemimpin negara walaupun ada risikonya.
"Dan sekarang saya rasa lebih baik. Mungkin saya kebal. Saya tidak tahu," kata Trump.
Terdahulu, pada Isnin pasukan perubatan Trump memberitahu wartawan presiden memenuhi semua kriteria untuk dibenarkan keluar hospital dan keadaannya bertambah baik sejak didiagnosis.
Trump, dalam ciapannya kira-kira 20 minit sebelum meninggalkan hospital, beliau akan meneruskan kempen "tidak lama lagi."
Presiden itu dijangka menyertai debat presiden yang dijadual 15 Oktober di Miami, Florida, menurut pengarah komunikasi kempen Trump, Tim Murtaugh.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai