Belum tahu bila LRA Sg Semenyih, Bukit Tampoi beroperasi semula
Belum dapat dipastikan bilakah Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dapat beroperasi selepas ia dihenti tugas sejak semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Suhaimi Kamaralzaman, berkata pihaknya juga tidak dapat menjangkakan berapa lama masa perlu diambil untuk LRA itu pulih sepenuhnya.
“Kedua-dua LRA hanya boleh beroperasi setelah punca pencemaran dikenal pasti," katanya kepada pemberita pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Tambah Suhaimi, setakat jam 12.30 tengah hari tadi, bacaan pada muka sauk LRA Sungai Semenyih adalah pada 9 TON (nombor bau ambang) dan bacaan di muka sauk LRA Bukit Tampoi ialah 8 TON.
Untuk pencemaran yang dikesan di Sungai Batang Benar di Negeri Sembilan pula, kata Suhaimi, ia berada pada tahap 18 TON.
Untuk rekod, sejumlah 309,687 akaun pengguna di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula semalam selepas kedua-dua LRA itu dihenti tugas.
Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pencemaran itu disyaki berpunca dari kawasan perindustrian di Nilai, Negeri Sembilan.
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari pula berkata kerajaan negeri Negeri Sembilan serta jabatan alam sekitar negeri itu telah dihubungi bagi memaklumkan berhubung perkara berkenaan.
Sementara itu, Suhaimi turut menasihatkan pengguna yang terkesan untuk mengambil bekalan air alternatif di pili-pili awam.
“Dalam tempoh lebih 14 jam ini, Air Selangor tidak dapat menghasilkan air sebanyak 602 juta liter air sehari untuk dibekalkan kepada para pengguna di 274 kawasan.
“Air Selangor menyarankan para pengguna untuk mengambil bantuan bekalan air alternatif di pili-pili awam kerana bantuan melalui lori-lori tangki air diutamakan kepada premis-premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis,” katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai