Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

'Dasar afirmatif boleh diketepi jika jurang kekayaan antara kaum diatasi'

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, jika jurang kekayaan antara kaum dapat diatasi, tidak mustahil untuk menyingkirkan dasar tindakan afirmatif.

Bagaimanapun katanya, rasuah telah menyebabkan dasar untuk mengurangkan jurang kekayaan antara kaum tidak berjaya.

“Jika dikurangkan jurang perbezaan, rasa cemburu dan dengki juga akan berkurang. Negara akan lebih stabil dan membangun.

“Jika perbezaan dari segi kekayaan tidak begitu besar. Kita boleh hilangkan (tindakan afirmatif),” kata Mahathir seperti dipetik laporan The Straits Times.

Dasar tindakan afirmatif yang dikhaskan buat bumiputera Melayu telah berkembang sejak perkenalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1971.

Mahathir menyifatkan sebahagian dasar ini telah berjaya selepas melihat ramai golongan profesional dari kaum Melayu.

Bagaimanapun, ekuiti korporat bumiputera dilaporkan menurun dari 23.4 peratus sehingga 16.2 peratus dari tahun 2011 hingga 2015.

Mahathir berkata, ia kerana bumiputera memberikan respons yang tidak baik.

“Ramai gagal kerana mereka menjual lesen, kontrak dan permit. Mereka ada duit buat sementara waktu tetapi tidak berkembang,” katanya.

Mahathir, yang kini berumur 95 tahun mengasaskan Wawasan 2020 yang dilihat gagal dicapai.

Pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin Mahathir kemudian memperkenalkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 tahun lalu.

Sementara itu, Mahathir menafikan bahawa Wawasan 2020 telah gagal kerana dakwaan terdapat kronisme dan nepotisme sewaktu pertama kali menjadi perdana menteri.

Namun, dia mendakwa ia kerana “kecenderungan kepada rasuah lebih besar” telah berlaku selepas dia meletakkan jawatan sebagai perdana menteri pada 2003 lalu.