Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Nana setia ziarah pusara tuannya sejak 2 tahun lalu

Sejak dua tahun lalu, tingkah laku Nana menggambarkan betapa dia kehilangan seorang yang paling disayangi.

Hampir setiap hari, Nana si kucing jantan berusia enam tahun itu akan menziarahi kubur arwah Ab Aziz Ismail yang meninggal dunia pada Julai 2018 susulan komplikasi buah pinggang.

Bekas pesara guru itu menjadi teman harian Nana sejak kucing kampung berbulu lebat itu lahir sekitar tahun 2014.

Kini, Nana akan melalui rutin hariannya dengan bersantai di 'port' kenangan bersama tuannya di beberapa lokasi sekitar halaman rumah yang terletak di Kampung Paloh, Kelantan itu.

Ia seolah-olah menyimpan seribu satu memori indah yang hanya dapat diterjemah dengan rutin harian, tingkah laku dan cuba mengulangi kenangan lalu tanpa jemu.

Isteri arwah Ab Aziz, Hasnah Che Ahmat, 68, berkata, kucing tersebut dijaga mereka sekeluarga dan paling rapat dengan Ab Aziz.

"Ketika arwah suami masih ada, setiap pagi Nana akan tunggu arwah pulang solat Subuh di pagar utama rumah. Arwah akan berikan makanan sebaik pulang dari masjid. Itu memang rutin mereka.

"Selain itu, Nana suka duduk atas buaian bersama arwah, memang dia rapat dengan suami saya," katanya ketika ditemui Malaysiakini, di rumahnya, hari ini.

Sebelum ini kisah Nana viral di media sosial selepas salah seorang menantu Hasnah memuat naik di Facebook.

Keajaiban kasih-sayang

Hasnah berkata, selepas kematian Ab Aziz, mereka sekeluarga akan ke kubur setiap pagi selama 40 hari dan setiap pagi Nana akan sampai lebih awal di tanah perkuburan yang terletak kira-kira 20 meter dari belakang rumah mereka.

"Setiap pagi sebelum kami sampai selama tempoh itu, Nana sudah sampai dan dia akan duduk di atas kubur di bahagian kepala. Sejak itu kami melihat keajaiban kasih sayang antara ‘Nana’ dan arwah suami.

"Sehingga kini setiap pagi Jumaat kami akan menziarah kubur, dan Nana akan mendahului," kata ibu kepada lapan cahaya mata itu.

Bercerita lanjut, Hasnah yang juga seorang pesara guru berkata dalam tempoh tiga bulan kematian suaminya, tingkah laku kucing kesayangan mereka itu dilihat berubah dan hilang selera makan.

Tetapi katanya, keadaan itu hanya sementara dan Nana banyak menghabiskan masa di sekitar halaman rumah khususnya lokasi yang meninggalkan banyak kenangan bersama Ab Aziz.

"Biasanya Nana akan duduk atas kereta kesayangan arwah. Sebuah kereta lama jenama Morris Minor. 

"Kadang-kadang sampai tertidur atas kereta itu. Selain itu dia akan duduk atas buaian, selain pergi ke kubur arwah yang hanya terletak di belakang rumah. Itu menjadi rutin hariannya.

"Kalau saya bercucuk tanam di belakang rumah, Nana akan jadi peneman sehinggalah saya naik semula ke rumah," katanya.

Bagi Hasnah sekeluarga, tingkah laku Nana itu mungkin sukar dipercayai oleh orang lain, namun itulah yang berlaku.

"Kami sendiri tidak menyangka, tapi ini mungkin kesan apabila kita berbuat baik kepada sesiapa sahaja termasuk haiwan, mereka akan sentiasa mengenangkan kita," katanya.